Presiden Malaysia Humanitarian Aid and Relief, Jismi Johari bercakap pada sidang media mengenai Ops Ihsan Humanitarian Aid to Gaza di Duta Nusantara Clubhouse, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Sekretariat Induk Ops Ihsan menyatakan kebimbangan terhadap penularan surat daripada Kementerian Luar Negeri berkaitan tiga nama dalam senarai Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, surat berkenaan bertujuan menyampaikan nasihat Polis Diraja Malaysia kepada pihaknya.

Ia merupakan langkah berterusan bagi membantu Sekretariat Induk Ops Ihsan dalam memantapkan tata kelola demi memastikan kelancaran urusan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

“Isu terkait keselamatan sepertimana kandungan surat yang ditularkan kini diberi perhatian utama dalam memastikan segala atur gerak Ops Ihsan dilaksanakan dengan baik, teratur dan tersusun berdasarkan pendekatan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Jismi berkata, Ops Ihsan adalah kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan demi satu tujuan iaitu membantu rakyat Palestin yang terkesan dalam konflik kemanusiaan yang semakin parah.

Tegas beliau, sejak November 2023 Ops Ihsan telah berjaya melaksana amanah yang dipertanggungjawabkan.

Tambah beliau, Kementerian Luar Negeri ada agensi kerajaan yang lain sentiasa berkongsi maklumat terkini dan sering menasihatkan setiap NGO mengenai kepentingan menjaga tata kelola dalam urusan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Sekretariat Induk Ops Ihsan komited dalam menggerakkan usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui penggemblengan lebih 50 buah NGO di Malaysia dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri selaku agensi penyelaras,” kata beliau.

Semalam media melaporkan, tiga pemimpin daripada NGO Islam berasingan dari Malaysia yang aktif dalam menguruskan bantuan ke Asia Barat disenaraikan dalam TSC FBI.

Dalam surat yang ditularkan, mereka yang disenaraikan adalah Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Sufian Awang Piut, pengasas Persatuan Cinta Syria Malaysia, Ahmad Musa Al Nuwayri Kamaruzaman dan Setiausaha Agung Dunia Melayu Dunia Islam, Abu Bakar Abdul.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast