KUALA LUMPUR – Perdana Menteri memberikan tempoh sebulan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengemukakan laporan lengkap pencapaian setahun lalu berikutan kejayaan dalam kutipan zakat melebihi RM1 bilion.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu juga perlu mengandungi cadangan dan hala tuju baharu yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada negeri lain terutama dalam urusan kutipan zakat dan penyelarasan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Jelasnya, semua inventori perlu dilakukan mengikut tradisi Islam yang betul dan mencontohi kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz yang berjaya menyelesaikan masalah kemiskinan pada zaman pemerintahan beliau.
“Saya mahu MAIWP mengemukakan cadangan bagaimana menjadi majlis agama Islam yang terbaik, pengurusan dan tata kelola yang terbaik dan hentikan apa-apa sahaja perbelanjaan yang tidak perlu. Memastikan setiap sen kembali kepada rakyat.
“Saya tegas dalam hal ini terutama di MAIWP kerana mahu ia menjadi mercu tanda kebanggaan ummah dengan tata kelola terbaik, roh perjuangan yang bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival MAIWP 2024 sempena sambutan Jubli Emas ke-50 penubuhannya di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Perdana Menteri dalam ucapannya juga meminta MAIWP menyelaras penyampaian bantuan zakat bersama agensi lain bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan, mendapat manfaat.
Katanya, tanpa penyelarasan daripada pelbagai pihak kemungkinan ada keluarga yang tidak mendapat bantuan.
“Antara tugas MAIWP supaya ada penyelarasan dengan agensi lain, kalau tidak ada satu keluarga dapat empat kali (bantuan), satu keluarga (pula) tak dapat langsung… jadi saya harap ini diurus dengan baik.
“Kerja menteri, timbalan menteri, pengerusi, bukan sekadar meneruskan kegiatan ini, sebaliknya memastikan setiap dana dan setiap sen rakyat kembali kepada rakyat, dan tak boleh diperalat untuk kesenangan peribadi,” katanya. – MalaysiaGazette