Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) meminta semua pihak berhenti menyebarkan fitnah mengaitkan pertubuhan itu dengan Aman Palestin Berhad (Aman) yang kini berdepan dengan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Agungnya, Muhammad Izzat Husman berkata, pihaknya mendapati terdapat cubaan mengaitkan ISMA dalam hal itu, susulan ada individu dan kumpulan yang mengeluarkan kenyataan berserta infografik berkaitan kes tersebut.

“ISMA ingin menafikan sepenuhnya dakwaan tersebut dan menyelar tindakan pihak-pihak berkenaan sebagai tidak telus dan berniat jahat bagi menjatuhkan kredibiliti ISMA.

“ISMA tidak pernah dan pada bila-bila masa mengendalikan syarikat Aman Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Muhammad Izzat lagi, sebarang kenyataan tidak bertanggungjawab oleh mana-mana pihak yang ingin mengaitkan ISMA secara langsung atau tidak langsung dengan kes mahkamah yang sedang dalam perbicaraan akan disusuli dengan tindakan guaman yang bersesuaian.

Langkah itu akan diambil sekiranya pihak terbabit tidak menarik semula kenyataan, artikel, tulisan atau infografik di media sosial yang telah disebarkan pada kadar segera.

Baru-baru ini, pendakwaan kes pecah amanah, tipu dan ubah wang haram bernilai RM39.5 juta dikaitkan dengan Aman Palestin mencuri tumpuan susulan keseluruhan 164 pertuduhan dihadapi tiga tertuduh, pada Khamis lalu.

Selain Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Suffian Awang Piut, 52, turut didakwa adalah pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan.

SPRM menerusi kenyataan pada 22 November lalu memaklumkan, 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dibekukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.

Pembekuan akaun itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.

Sejak ditubuhkan, Aman Palestin menyalurkan pelbagai bentuk bantuan untuk projek di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan serta sumbangan orang ramai dengan matlamat utama bagi membebaskan al-Aqsa.

Antara projek dilaksanakan di Palestin dan kem pelarian Palestin di negara sekitanya ialah pembinaan rumah anak yatim, bantuan pengajian, perubatan, hari raya dan sara hidup, pembiayaan keluarga miskin, pertanian sara diri, berbuka puasa serta Projek Qurban Aidil Adha.

Aman Palestin juga bekerjasama dengan institusi kerajaan dan swasta, syarikat korporat, sekolah, masjid, badan kebajikan dan NGO di dalam dan luar negara bagi mencapai objektifnya. – MalaysiaGazette