BATU PAHAT – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 11 Mac depan untuk sebutan semula kes pembunuhan Mila Sharmila Samsusah atau Bella yang melibatkan teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz.
Suspek telah didakwa membunuh wanita itu, Disember lalu.
Majistret Suhaila Shafi’uddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid memaklumkan belum menerima laporan forensik.
Siti Khalijah memaklumkan masih menunggu laporan forensik untuk membolehkan pihaknya membuat permohonan izin bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Muar.
Sementara itu, peguam Mohammad Haikal, Syahril Anuar mencadangkan tarikh 11 Mac berkenaan kepada mahkamah dan tiada bantahan daripada pihak pendakwaan mahupun daripada Nur Aminahtul Mardiah Md Nor selaku peguam pemerhati keluarga Bella.
Pada 24 Januari lalu, bekas posmen itu buat pertama kali didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh Bella atau nama sebenar Mila Sharmilah Samsusah, 32, pada Disember lalu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Bella antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.
Kejadian itu berlaku pada 11 malam hingga 5 pagi, antara 14 hingga 15 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak lebih 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.
Bekas posmen itu ditahan pada 19 Disember lalu sebelum didakwa atas kesalahan membunuh Bella yang juga teman wanitanya.
Keluarga Bella termasuk Noraini Salleh, 55, kakak Allahyarham, Norhisham, 36, dan juga bapa saudara, Nor Azhar Jamil, 55, selain ahli keluarga tertuduh hadir di mahkamah pagi tadi. – MalaysiaGazette