Dd Chronicle

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai mengambil keterangan daripada pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berkaitan isu video parodinya yang didakwa mempersenda keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu selepas dihubungi petang tadi.

Menurutnya, Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, telah dipanggil oleh ke Bukit Aman bagi merakam keterangan daripadanya pada Khamis lalu.

“Suspek telah hadir ke Bukit Aman dan sudah selesai diambil keterangan oleh pegawai polis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan/Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pukul 10.15 pagi 15 Februari lalu,” katanya.

Kes ini sedang disiasat polis di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian, katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin menambah kertas siasatan akan dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara di Putrajaya esok.

Tegas Razarudin, setakat pukul 8 pagi tadi, polis telah menerima sebanyak 49 laporan polis ke atas Dd Chronicle di seluruh negara.

Aduan tertinggi direkodkan di Johor dengan jumlah 12 laporan diikuti lima laporan di Pahang dan masing-masing empat laporan polis di ibu negara, Melaka, Perak dan Selangor.

Sementara itu, masing-masing tiga laporan polis di Kelantan, Kedah dan Sabah.

“Selain itu, kita juga menerima dua laporan masing-masing dibuat di Negeri Sembilan dan Terengganu manakala satu laporan di Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak,” katanya.

Sebelum ini, Dd Chronicle dikatakan mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas dikesan memuat naik video parodi dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Rakaman video berdurasi tiga minit 55 saat yang tular itu memaparkan lakonan pempengaruh itu dengan skrip menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi dalam kalangan umat Islam tidak akan dikenakan hukuman.

Tindakan pempengaruh itu mengundang pelbagai reaksi serta kemarahan netizen media sosial yang menganggap tindakannya melampau sehingga ada yang menggesa pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut. – MalaysiaGazette