Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Negara Islam terutama pemimpin Arab tidak sepatutnya terus mendiamkan diri terhadap keganasan Israel yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, Palestin.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad berkata, sekiranya pemimpin negara Islam dan Arab tidak mampu untuk berperang mereka setidak-tidaknya harus menyatakan kebencian terhadap kezaliman berterusan yang dilakukan Israel.

Katanya, apa yang lebih mendukacitakan apabila ada negara Islam yang meneruskan perdagangan dengan Israel malah membekalkan senjata kepada negara zionis itu.

“Semua orang tahu Israel itu jahat dan keganasan mereka disokong oleh kuasa-kuasa Barat.

“Masalah yang berlaku sebenarnya adalah dunia Islam, khasnya negara-negara Arab, kebanyakannya mendiamkan diri terhadap kezaliman dan kekejaman Israel. Ini yang pelik.

“Bahkan ada kalangan negara-negara umat Islam terus berdagang dengan Israel dan membekalkan segala bentuk peralatan ketenteraan termasuk meneruskan kerjasama ekonomi dengan regim yang zalim tersebut,” kata Mohamad dalam kenyataan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, sebaliknya Eropah kini menyaksikan kebangkitan dalam menentang pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel di Gaza.

Beliau yakin, dengan sikap berdiam diri pemimpin Islam dan Arab, pembebasan Palestin akan dilakukan oleh masyarakat Eropah.

“Palestin akan dibebaskan oleh bangsa Eropah kerana mereka begitu mengambil berat soal hak asasi dan kemanusiaan. Tidak seperti di negara-negara umat Islam.

“Terbaharu berlaku di Kanada dan di negara Eropah lain, di mana Ahli-ahli Parlimen mereka bangkit menyatakan kemarahan terhadap Israel.

“Kita harus sedar, mengutuk kezaliman Israel tidak cukup. Gerakkan pemimpin-pemimpin umat Islam, khususnya negara Arab untuk bangkit segera membebaskan umat Palestin sebagaimana kebangkitan rakyat Eropah,” tegasnya.

Beliau membuat kenyataan berkenaan selepas terkesan melihat ratusan mayat bayi, kanak-kanak dan wanita Palestin dibunuh oleh regim zionis Israel menerusi televisyen.

Media melaporkan, dalam serangan tanpa henti selama lima bulan sejumlah 29,000 penduduk Palestin di Gaza telah dibunuh oleh Israel.

Malah negara Zionis itu kini mengancam untuk menyerang Rafah iaitu wilayah paling hujung di Gaza yang kini menjadi tumpuan pelarian Palestin dari utara, tengah dan selatan selepas diarah berbuat demikian oleh Israel. – MalaysiaGazette