Gambar hiasan

Oleh: Dr. Hanira Hanafi, Dr. Maria Mohd Ismail, Dr. Siti Nur Edlyn Nadia Zuraiju

MEMEGANG segulung ijazah dengan mengenakan jubah konvokesyen dipadankan dengan mortar board di atas kepala merupakan impian mahasiswa baik dari universiti awam mahu pun swasta. Tapi tahukah para graduan terhadap cabaran yang sedang menanti mereka untuk melangkah masuk ke alam pekerjaan? Dimensi cabaran pekerjaan Gen-Z hari ini ternyata berbeza dengan generasi sebelumnya. Lanskap pekerjaan yang dinamik memberi tekanan kepada para graduan masa kini terutamanya isu gaji rendah di era teknologi moden dan kos sara hidup yang tinggi, keperluan kemahiran insaniah yang menjadi kayu ukur pekerjaan dan peluang pekerjaan yang rendah mengikut kelulusan dan kemahiran graduan dilihat antara cabaran pekerjaan yang membelenggu graduan masa kini.

Isu gaji rendah masih lagi kekal menjadi cabaran kepada graduan yang baharu dalam bidang pekerjaan lebih-lebih lagi dalam sektor swasta. Sebelum ini pernah dilaporkan oleh Tinjauan Ekonomi 2024, lebih 70 peratus daripada graduan yang bekerja memperoleh gaji di bawah RM2,000 sebulan. Perkara ini juga turut melibatkan graduan yang berkelulusan profesional seperti peguam, akauntan dan jurutera. Isu ini perlu dipandang serius kerana peningkatan kos sara hidup lebih-lebih lagi di bandar menyebabkan pekerja terpaksa membelanjakan hampir keseluruhan gaji mereka untuk perbelanjaan asas dan tidak mampu untuk membuat simpanan dimana akan menjejaskan perlindungan keselamatan sosial mereka kelak.

Di peringkat kerajaan, terdapat beberapa akta (Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] dan Akta Kesatuan Sekerja 1959 [Akta 262]) yang bertujuan mengawal selia penetapan dan pembayaran gaji kepada pekerja, Namun isu gaji rendah masih lagi dibelenggu oleh kebanyakan pekerja pada hari ini. Usaha berterusan kerajaan masih lagi diteruskan melalui Dasar Gaji Progresif yang dibentangkan akhir tahun lepas.

Melalui dasar ini, pihak kerajaan akan menyediakan insentif berbentuk tunai yang akan dibayar mengikut kadar dan kumpulan pekerja. Dasar Gaji Progresif ini bertujuan meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan yang lebih seimbang. Usaha tersebut diharapkan dapat menyelesaikan masalah gaji yang rendah namun dasar yang bersifat sukarela ini hanya dapat direalisasikan dengan penyertaan dan sokongan yang padu dari majikan.

Selain isu gaji rendah, cabaran peluang pekerjaan yang tidak sepadan dengan Ijazah dimiliki graduan dilihat sebagai cabaran utama mengapa para graduan kini lebih gemar memilih pekerjaan gig seperti pemandu p-hailing, e-hailing atau pekerjaan tidak formal. Pekerjaan gig yang tidak memerlukan pencapaian akademik yang tinggi dan waktu kerja yang rigid seperti menggunakan sistem clock-in dan clock-out semestinya menarik minat graduan untuk mengungguli sektor ini. Isu ketidaksepadanan pekerjaan dan kemahiran mempunyai kesan negatif bukan sahaja kepada individu yang tidak dapat menjana pendapatan tinggi setimpal dengan Ijazah yang dimiliki bahkan menjadi penyumbang kepada kelembapan ekonomi dan kemajuan negara apabila negara kekurangan tenaga kerja mahir dan profesional.

Faktor kekurangan pekerjaan dan ketidaksepadanan kemahiran justeru dilihat sebagai faktor penolak penghijrahan golongan cerdik pandai ke luar negara untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi sepadan dengan kemahiran yang dimiliki. Cabaran pekerjaan graduan masa kini juga diukur melalui penguasaaan kemahiran insaniah. Kebanyakan industri pada hari ini tidak hanya menekankan penguasaan kemahiran teknikal semata bahkan memerlukan graduan menguasai kemahiran insaniah. Hal ini kerana kemahiran insaniah merupakan asas penting yang perlu dikuasai agar graduan lebih berdaya saing.

Komponen kemahiran insaniah merangkumi komunikasi, pemikiran kritikal, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, kepimpinan, kerja berpasukan dan juga pengurusan masa. Sebagai contoh, penguasaan kemahiran pengurusan masa berupaya membantu individu dalam menyempurnakan kerja yang harus diutamakan dan pada masa yang sama meningkatkan produktiviti kerja.

Oleh yang demikian, graduan harus bersiap siaga menguasai kemahiran insaniah semasa dalam tempoh pengajian agar dilihat sebagai seoarang yang berkemahiran tinggi. Secara praktikal, kebanyakan program pengajian mewajibkan pelajar menjalani latihan industri dalam tempoh pengajian kebiasaannya di tahun akhir bagi membolehkan mereka mengaplikasi kemahiran insaniah selain dari kemahiran teknikal.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), hasil dapatan kajian menunjukkan salah satu faktor mengapa para graduan kurang mendapatkan pekerjaan yang dipohon adalah disebabkan kurang berkemahiran. Pembentukan kemahiran insaniah haruslah di mulai di peringkat awal sekolah dan berterusan di setiap peringkat pendidikan. Selain itu, institusi pendidikan haruslah sentiasa bekerjasama dengan pihak industri dalam mengenal pasti keperluan kemahiran insaniah yang diperlukan oleh pekerja masa kini selain keperluan teknikal agar mahasiswa dapat diterapkan dengan kemahiran insaniah yang lebih berdaya saing.

Dr. Hanira Hanafi Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam; Dr. Maria Mohd. Ismail Pensyarah Kanan dari Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi; Dr. Siti Nur Edlyn Nadia Zuraiju Pensyarah Kanan di Jabatan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast