GEORGE TOWN – Seorang lelaki didakwa atas empat pertuduhan termasuk memukul dan mencederakan ibunya menggunakan rotan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Satu pertuduhan terhadap Poh Lee Aik, 45, dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim di Mahkamah Sesyen manakala tiga lagi dibuat secara berasingan di depan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin dan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Hokkien dan Mandarin.
Bagi pertuduhan pertama, pembantu pejabat itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap ibu kandungnya berusia 69 dengan cara memukul kepala dan badan mangsa menggunakan rotan secara berulang kali.
Dia dakwa melakukan kesalahan itu di Blok 3-11-07 Taman Lembah Hijau Lorong Gangsa, dalam Daerah Timur Laut jam 7 malam pada 13 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 236Aakta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Timbalan Pendakwa, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan jaminan namun tertuduh dalam rayuan mohon dibenarkan jaminan minima atas alasan sedang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan berkaitan sakit membabitkan emosi.
Mohamad Khalid pada penghakimannya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas faktor kesalahan yang dilakukannya serius, tertuduh tinggal sebumbung bersama mangsa, selain pihak penjara boleh membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit dihidapi.
Di Mahkamh Majistret Jenayah Satu, tertuduh turut tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memukul menggunakan tangan serta melakukan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan di lokasi dan tarikh sama sehubungan itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
Majistret Siti Nurul Suhaila kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan jaminan akan dibatalkan sekiranya tertuduh menganggu atau mendekati mangsa.
Kes di Mahkamah Sesyen dan Majistret Satu akan disebut semula 19 Mac depan untuk serahan laporan perubatan mangsa.
Manakala bagi pertuduhan keempat dihadapan Majistret Nadratun Naim, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi kepada diri sendiri dadah jenis Methamphetamin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut jam 6 pagi pada 14 Februari lalu.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini dan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapakan 24 April depan sebagai tarikh serahan laporan kimia.
Selepas selesai semua pertuduhan, tertuduh menangis dihadapan seorang wanita dipercayai kekasihnya ketika pihak polis mahu mengarinya untuk dibawa ke lokap selepas dia tidak dibenarkan bebas dengan jaminan.
ARTIKEL BERKAITAN
Media sebelum ini melaporkan minta wang untuk beli dadah serta tidak puas hati dengan pembahagian harta keluarga dikenal pasti punca lelaki bertindak memukul ibunya serta mengancam mahu letupkan tiga tong gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya pada 13 Februari lalu.
Wanita warga emas itu telah menyerahkan RM250 kepada suspek namun dia tidak puas hati dengan jumlah diberikan sebelum bertindak agresif. – MalaysiaGazette