Suspek berusia 45 tahun ditahan di rumahnya di sebuah flat Jalan Gangsa di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Minta wang untuk beli dadah serta tidak puas hati dengan pembahagian harta keluarga dikenal pasti punca lelaki bertindak memukul ibunya serta mengancam mahu letupkan tong gas petroleum cecair (LPG) di sebuah rumah flat di Jalan Gangsa di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, hasil siasatan mendapati suspek berusia 45 tahun yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik itu telah meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.

Jelas beliau, wanita warga emas itu telah menyerahkan RM250 kepada suspek namun dia tidak puas hati dengan jumlah diberikan sebelum bertindak agresif.

Mohamed Usuf.

“Suspek menganggapkan pemberian RM250 itu sebagai satu penghinaan terhadap dirinya sebelum meminta RM20,000 daripada ibunya dengan alasan hasil pembahagian harta peninggalan bapanya.

“Apabila ibunya enggan mengikut permintaan suspek yang dalam pengaruh dadah terus bertindak memukul wanita itu sebelum ia disedari jiran dan memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

“Siasatan kita juga mendapati ini bukan kali pertama suspek bertindak sedemikian cuma semalam dia lebih agresif susulan tiada penghuni lain di rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamed Usuf, selepas diselamatkan polis ibu suspek yang juga seorang penjaja menerima rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.

“Semakan lanjut juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan dadah serta jenayah.

“Suspek yang positif dadah itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga jam pujuk suspek pukul ibu, ancam bakar rumah serah diri

Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak memukul ibunya sebelum mengancam mahu letupkan tong gas petroleum cecair (LPG) bagi elak ditahan polis dalam kejadian di sebuah flat Jalan Gangsa, di sini.

Suspek berusia 45 tahun itu hanya berjaya diberkas selepas hampir tiga jam pihak polis memujuknya untuk menyerahkan diri. – MalaysiaGazette