KUALA LUMPUR – Isu trafik yang kritikal di ibu negara kini turut menjadi antara fokus utama Polis Kuala Lumpur dalam memperkemas aspek keselamatan dan ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, isu trafik bukan hanya menjadi perhatian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, sebaliknya membabitkan keseluruhan kawasan pentadbiran Polis Kuala Lumpur.
Menurutnya, penguatkuasaan akan terus dilaksanakan berdasarkan maklumat risikan dan statistik yang diperoleh bagi menangani isu keselamatan serta trafik secara lebih berkesan.
“Isu trafik yang kritikal di Kuala Lumpur ini antara fokus utama Polis Kuala Lumpur, bukan hanya Sentul,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di antara Superintendan Jasni Zolpa dengan Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam.
Dalam pada itu, Fadil berkata, pasukan polis di Kuala Lumpur akan bergerak dengan lebih agresif susulan pertukaran kepimpinan di IPD Sentul.
Katanya, pengalaman serta komitmen Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu diharap dapat membantu memperkukuh operasi pasukan.
“Kita akan bergerak lebih agresif dalam operasi. Kita harapkan dengan pengalaman, komitmen dan kecergasan yang ada pada beliau.
“Insya-Allah kita akan lebih agresif dan menghasilkan keberhasilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















