Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyaksikan sesi penyerahan tongkat kuasa di antara Superintendan Jasni Zolpa dengan Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam pada Majlis Penyerahan Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul diingatkan supaya tidak mengamalkan budaya bekerja mengikut individu, sebaliknya mengutamakan semangat berpasukan demi kepentingan organisasi dan masyarakat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setiap anggota perlu memahami bahawa kekuatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terletak pada kerjasama dan komitmen seluruh warga pasukan, bukan bergantung kepada seseorang individu semata-mata.

“Jangan ada budaya bekerja mengikut individu. It is all about group work, team. 

“Kita berdiri atas nama PDRM demi organisasi dan demi masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyambut baik pelantikan Asisten Komisioner Anuar Bakri sebagai Ketua Polis Daerah Sentul bagi menggantikan Superintenden Jasni Zolpa yang sebelum ini menerajui IPD berkenaan.

Fadil berkata, kenaikan pangkat dan pelantikan ke jawatan baharu bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi serta pengalaman seseorang pegawai, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, profesionalisme dan rasa tanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh warga IPD Sentul supaya memberikan sokongan serta komitmen penuh kepada kepimpinan baharu bagi memastikan segala tugas dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya mahu setiap tugas dilaksanakan dengan pantas, tepat dan berintegriti. Tingkatkan kehadiran polis di lapangan, dengar keluhan masyarakat dan jangan sesekali memandang ringan terhadap isu keselamatan walaupun ia kecil,” katanya.

Menurutnya, ukuran kejayaan pasukan polis tidak seharusnya hanya bergantung kepada pencapaian statistik atau jumlah kes yang diselesaikan, sebaliknya berdasarkan tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM.

“Kehadiran anggota polis yang lebih ketara di lapangan penting bagi memastikan masyarakat berasa selamat selain membolehkan sebarang aduan dan permasalahan ditangani dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil turut mengingatkan kepimpinan IPD Sentul supaya memberi perhatian sewajarnya terhadap kebajikan pegawai dan kakitangan.

Katanya, ia bagi memastikan semangat, kesediaan dan dedikasi anggota untuk terus berkhidmat kepada masyarakat kekal kukuh.

“Staf-staf kita ini menjadi tulang belakang kepada kekuatan organisasi.

“Mereka berdiri di barisan hadapan, berdepan risiko dan mengorbankan masa demi sebuah tanggungjawab serta amanah lebih besar untuk memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan aman dan selamat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here