Mangsa, Muhammad Azreen Othman ditemukan di kedalaman 12 meter kira-kira 6 meter dari lokasi dia dilihat kali terakhir.

ROMPIN – Kegembiraan lapan sahabat berkelah sambil mandi manda di Jeram Air Leleh, Bukit Ibam di sini bertukar kedukaan apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat lemas.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, mangsa, Muhammad Azreen Othman, 25, bersama tiga rakan lelaki dan lima wanita tiba di lokasi terbabit untuk berkelah kira-kira jam 2 petang semalam.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4.30 petang ketika mangsa sedang bergayut pada tali yang diikat antara pokok melintasi anak sungai, mangsa dikatakan terlepas memegang tali itu dan terus dibawa arus menuju ke jeram.

“Difahamkan, mangsa tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tali tempat mangsa bergayut sebelum terlepas dan dihanyut arus deras

Menurutnya, polis menerima laporan kejadian mangsa hilang dihanyut arus deras di lokasi itu kira-kira jam 5.40 petang semalam.

Sharif Shai berkata, dua wanita yang berada di lokasi kejadian,  sempat mencapai hujung tangan mangsa, namun terlepas kerana licin, selain badan mangsa sedikit berisi, ditambah arus deras ketika kejadian.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 8.35 pagi tadi menemukan mangsa di kedalaman 12 meter dengan anggaran sejauh 6 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Muadzam Shah kira-kira jam 10 pagi tadi. Difahamkan bedah siasat akan dijalankan pada pukul 4 petang nanti,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pahang, Mohd Salahuddin Isa memberitahu, sejumlah 19 anggota dari BBP Muadzam Shah dan Pasukan Penyelamatan Dasar Air (PPDN) Bomba telah terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Susulan kes tersebut, beliau menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan sekeliling serta memahami risiko kawasan rekreasi yang dikunjungi.

“Pastikan pengawasan ketat terhadap ahli keluarga ketika beriadah di kawasan rekreasi melibatkan air. Wajibkan guna jaket keselamatan bagi aktiviti sukan di air seperti naik bot atau mandi-manda di kawasan berarus,” katanya.

Menurut Mohd Salahuddin, bagi tahun ini, sebanyak 16 laporan kes membabitkan kejadian lemas di seluruh negeri diterima pihaknya sehingga ke hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here