MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sedang menyiasat kegiatan berunsur khurafat oleh seorang lelaki mualaf yang kononnya mampu memberikan tangkal selain mendapatkan jodoh atau membuang sial pelanggannya di Pulau Besar, di sini.
Menurut sumber, lelaki menggelarkan dirinya ‘sultan’ menerusi akaun TikTok Perubatan Pulau Besar itu yang mempunyai hampir 50,000 pengikut juga dikaitkan dengan aktiviti pemujaan, ritual menggunakan lilin dan mandi bunga sama ada untuk mendapatkan jodoh atau buang sial.
Hasil semakan JAIM, lelaki berusia 44 tahun itu memeluk Islam pada 29 Jun 1994 dan pendaftarannya direkodkan pada 21 Januari 2025 di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan siasatan awal, bayaran bagi ‘tangkal kaya’ yang dikenakan lelaki berkenaan bergantung kepada jenis atau tahap diminta pelanggannya selain untuk mencari jodoh atau membuang sial.
“Ada mangsa yang mendakwa dikenakan bayaran sehingga lebih RM100 ketika bertemu dengannya berhampiran surau di pulau besar,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sumber berkata, penggunaan istilah ‘Perubatan Pulau Besar’ oleh lelaki berkenaan turut dirujuk kepada agensi berkaitan mengikut peruntukkan bidang kuasa yang sesuai.
“Perkara ini juga akan dipanjangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan susulan satu video yang dimuat naik di TikTok memaparkan perdebatan antara lelaki berkenaan dengan seorang imam Surau Pulau Besar yang mengajaknya menunaikan solat Asar secara berjemaah,” katanya.

Sementara itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bahagian Penguatkuasaan JAIM telah menjalankan beberapa kali pemantauan berkala di Pulau Besar.
“Saya telah mengarahkan pemantauna sentiasa dibuat dan terbaharu minggu lalu, pasukan penguat kuasa juga ada melakukan pemeriksaan namun tiada kelibat lelaki berkenaan ditemui berdekatan surau di pulau berkenaan.
“Hasil maklumat juga mendapati lelaki terbabit sudah tiada di situ sejak minggu lalu, namun JAIM akan terus bekerjasama rapat dengan polis dan nelayan bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut,” katanya.
Tegas Rahmad, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang aktiviti yang mempunyai unsur khurafat dan syirik, termasuk amalan yang mendakwa mampu memberikan kekayaan atau manfaat tertentu melalui penggunaan tangkal dan ritual.
“Masyarakat diingatkan supaya mendapatkan rawatan dan bimbingan agama daripada pihak yang diiktiraf serta tidak terpengaruh dengan amalan yang bercanggah dengan ajaran Islam.
“Orang awam yang mengenali lelaki berkenaan atau mempunyai maklumat berkaitan kegiatan juga diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut atau menghubungi JAIM di talian 06-2881280,”katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 69 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 berkaitan kesalahan pemujaan. – MalaysiaGazette
















