KUALA LUMPUR – Dapatan Programme for International Student Assessment‘ (PISA) 2025 yang menunjukkan kemerosotan matematik bukan sekadar isu pencapaian murid, sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam reka bentuk dasar pendidikan sejak 2023.
Sehubungan itu, Pengerusi Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP), Datuk Dr. Pamela Yong berkata, kerajaan perlu segera memperkenalkan instrumen yang boleh mengukur keberkesanan dasar pendidikan negara.
Menurut beliau, pelaksanaan instrumen tersebut bagi memastikan sasaran yang ditetapkan kerajaan dapat dijejaki dan diperbetulkan sekiranya tidak mencapai matlamat.
Skor matematik merosot 43 mata secara keseluruhan sejak 2018 dan kini lebih rendah berbanding 404 mata yang dicatatkan ketika penyertaan pertama Malaysia dalam PISA 2009+ yang dilaksanakan pada 2010.
Dapatan PISA 2025 menunjukkan pelajar Malaysia berusia 15 tahun memperoleh skor 397 dalam matematik. 393 bagi Bacaan dan 419 bagi Sains.
“Sebanyak 65 peratus pelajar gagal mencapai Tahap 2, iaitu tahap asas untuk mengaplikasikan matematik dalam situasi kehidupan seharian, berbanding 35 peratus di seluruh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
“Pelajar pada Tahap 5 atau 6 pula, yang dikaitkan OECD dengan keupayaan memodelkan situasi kompleks secara matematik, hanya 0.6 peratus daripada kohort berbanding lapan peratus di negara OECD,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pamela berkata, analisis Kementerian Pendidikan terhadap Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2023 yang diterbitkan pada Disember 2024 turut mendapati kelemahan konsep asas matematik berlaku dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.
Selepas itu, katanya, kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sasaran supaya prestasi PISA dan TIMSS mencapai purata antarabangsa menjelang 2030.
Kerajaan juga melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 pada 20 Januari lalu dengan sasaran gred C secara mandatori serta pelaksanaan Matriks Pembelajaran secara berpusat mulai 2026.
Pada 8 September lalu, kerajaan turut merujuk kepada Pelan Transformasi Pendidikan Matematik selama 10 tahun.
Bagaimanapun, katanya, INSAP melihat pendekatan itu mempunyai tiga kelemahan reka bentuk yang perlu ditangani segera.
Dakwanya, kelemahan pertama ialah ketiadaan mekanisme maklum balas tahunan untuk mengukur keberkesanan usaha mencapai sasaran tersebut.
Katanya, Malaysia perlu meningkatkan skor matematik daripada 397 kepada purata OECD sebanyak 463 mata, iaitu jurang 66 mata, sedangkan OECD menganggarkan 20 mata bersamaan secara kasar dengan satu tahun persekolahan.
“Matriks Pembelajaran ketika ini merupakan alat diagnostik di peringkat murid tanpa komitmen untuk menerbitkan keputusan nasional dalam skala yang boleh dibandingkan.
“TIMSS 2027 pula dijangka hanya melaporkan keputusan pada penghujung 2028. Ini bermakna sasaran 2030 hanya akan diuji sekali melalui PISA 2029, dengan keputusan diterbitkan pada 2030,” katanya.
Kelemahan kedua, ialah ketiadaan pendekatan berasaskan kohort.
Menurut Pamela, pelajar yang akan menduduki PISA 2029 kini berada di Tahun 6 dan Tingkatan 1.
“Jika pelan 10 tahun itu tidak dilaksanakan terlebih dahulu untuk kohort ini, ia hanya akan sampai kepada mereka selepas asas matematik di peringkat menengah sudah terbentuk,” katanya.
Tambahnya, kelemahan ketiga ialah sasaran sekolah tidak dihubungkan dengan sasaran pembangunan bakat negara.
Katanya, aspirasi Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan reka bentuk cip bergantung kepada penguasaan matematik gunaan.
Beliau berkata, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menetapkan sasaran untuk melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
“Sedangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberitahu Dewan Rakyat pada November 2025 bahawa 13,679 telah dilatih dan ditempatkan sejak strategi itu dilancarkan namun, tiada dokumen yang diterbitkan setakat ini menyelaraskan sasaran industri berkenaan dengan keupayaan kohort pelajar yang dijangka memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, Senarai Pekerjaan Kritikal TalentCorp 2024/2025 turut menyenaraikan 66 pekerjaan yang sukar diisi merentasi 18 sektor, dengan bidang kejuruteraan antara yang utama.
Menurutnya, industri semikonduktor juga memerlukan jurutera yang mampu mendiagnosis masalah baharu dan tenaga kerja berpengalaman, bukannya sekadar menambah jumlah graduan yang mempunyai sijil.
“Kecekapan itulah yang diukur PISA pada Tahap 5 dan 6. Kekurangan yang dihadapi majikan ketika pekerja berusia 22 tahun sudah dapat dilihat sejak usia 15 tahun,” katanya.
Sehubungan itu, INSAP mencadangkan tiga langkah iaitu Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan indikator kecekapan nasional secara tahunan.
Mulai 2027, apabila Matriks Pembelajaran Tingkatan 3 dilaksanakan, ia dicadangkan memasukkan sampel soalan aplikasi berasaskan PISA supaya anggaran tahap kecekapan nasional dapat diterbitkan setiap tahun.
Kedua, laporan bersama mengenai laluan kohort perlu diwujudkan mulai 2027 dengan menggabungkan data PISA dan Matriks Pembelajaran, Graduate Tracer Study, Senarai Pekerjaan Kritikal TalentCorp serta jumlah bakat di bawah NSS.
“Laporan ini akan menjejaki setiap kohort daripada tahap kecekapan di tingkatan 3, kemasukan ke aliran sains dan prauniversiti sehingga pengambilan kejuruteraan serta jumlah graduan, dengan itu, negara dapat mengenal pasti di mana berlakunya kebocoran dalam rantaian pembangunan bakat,” katanya.
Ketiga, Pamela berkata, pelaksanaan pelan matematik perlu disusun mengikut kohort, dengan dua tahun pertama memberi tumpuan kepada penempatan guru, bahan pembelajaran dan pemulihan matematik tahun 6 hingga tingkatan 2.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kohort PISA 2029 mendapat manfaat daripada intervensi antara 2026 hingga 2028.
“Dengan langkah ini, kementerian akan mengetahui dalam tempoh setahun sama ada pelan Matematik berkesan dan boleh melakukan pembetulan sebelum 2029.
“Peningkatan yang dicapai Thailand dan Filipina dalam satu kitaran menunjukkan perubahan adalah sesuatu yang boleh dicapai.
“Tanpa instrumen ini, sasaran 2030 hanya kekal sebagai kenyataan hasrat tanpa mekanisme untuk menjejaki atau merealisasikannya,” katanya. – MalaysiaGazette
















