KOTA TINGGI – Seorang daripada tiga mangsa yang maut kemalangan di Kota Tinggi-Kluang di sini semalam, sepatutnya masih berada di Pulau Aur, Mersing dan dijangka pulang hari ini.

Menurut Aireen Shahira Mohd Noor, 32, bapanya, Mohd Noor Selamat, 58, seorang yang suka memancing dan pergi ke pulau tersebut sejak Sabtu lalu dan dijadualkan berada di pulau itu selama tiga hari.
“Sepatutnya ayah bertolak balik hari ini tetapi kena balik awal semalam sebab angin kuat di laut,” katanya ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu Mohd Noor yang duduk di belakang Honda BRV bersama-sama dua rakannya sebelum kenderaan utiliti sukan (SUV) tersebut terbabas dan bertembung dengan kereta Perodua Axia dinaiki pasangan suami isteri yang baru pulang dari beriadah di Gunung Berlumut, Kluang.
Kemalangan tersebut turut mengorbankan pasangan Mohd Herwan Alias, 38, dan Nur Ezazaya Mohd Ali, 34, yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Tanjung Buai di sini.

Bercerita lanjut, Aireen Shahira berkata, bapanya yang bekerja sebagai pengurus sebuah kilang merupakan seorang yang sangat gemar memancing dan menjadikan aktiviti berkenaan sebagai hobinya.
Dia yang juga bekerja kilang berkata, arwah bapanya bertolak ke Pulau Aur kelmarin untuk memancing bersama-sama dua rakannya yang turut berada dalam CRV tersebut dan dilaporkan parah.
“Bagaimanapun, disebabkan cuaca buruk serta angin kencang di tengah laut, kumpulan mereka diminta untuk pulang lebih awal daripada jadual asal.
“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu. Walaupun saya menetap di Melaka dan tidak tinggal serumah, arwah seorang bapa yang sangat ceria dan suka bergurau dengan anak-anak.

“Sebelum kejadian, arwah ada menghantar lokasi terakhirnya menerusi WhatsApp. Itu memang tabiat biasanya setiap kali turun ke laut untuk memberitahu dia berada di mana,” katanya.
Dia berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Sri Lambak, Kluang.
Sementara itu, Mohd Ali Bakri, 70, bapa kepada Nur Ezazaya, reda dengan ketetapan tuhan apabila anak bongsunya bersama-sama menantunya, Mohd Herwan maut secara serentak.

Katanya, sebelum kejadian berlaku anaknya sempat menghubunginya kira-kira pukul 4 dan mengatakan mereka dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Lok Heng Timur.
“Anak ada hubungi saya katanya mereka baru balik dari Kluang dan dalam perjalanan ke rumah saya. Namun sekitar 8.20 malam sebelum sebelum Isyak, kami dimaklumkan polis tentang perkhabaran anak dan menantu terlibat nahas.
“Sejak saya melakukan pembedahan mata kanan, Nur Ezazaya banyak membantu saya kerana penglihatan saya jadi terbatas. Dia dan suami yang bawa saya ke sana sini.
“Selepas berkahwin dia duduk bersama-sama suaminya di Kampung Tanjung Buai namun setiap minggu mereka akan pulang ziarahi saya. Bahkan semalam mereka dalam perjalanan untuk menziarahi saya dan isteri tapi tidak kesampaian,” katanya. – MalaysiaGazette
















