Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bercakap ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk kaitan ‘orang dalam’ dalam siasatan kes samun membabitkan sebuah kondominium di Jalan Ampang, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, bagaimanapun pihaknya masih belum membuat sebarang kesimpulan kerana siasatan terhadap kes berkenaan masih berjalan.

Menurutnya, polis sudah mengambil keterangan daripada semua pihak berkaitan termasuk mangsa, penghuni rumah, kakitangan serta pihak keselamatan di premis terbabit.

“Kes masih dalam siasatan. Kita masih agresif dalam tindakan penyiasatan dan setakat ini belum ada tangkapan.

“Semua terlibat dalam rumah tersebut, mangsa, penghuni, staf yang berada di situ dan pihak keselamatan, kita sudah ambil keterangan,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan wujud kaitan orang dalam, Fadil berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian sebelum memperoleh hasil lengkap.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan selepas siasatan dilakukan dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Katanya lagi, polis turut mengesahkan telah berhubung dengan kedutaan berkaitan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan sebelum membuat sebarang kesimpulan,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang giat mengesan sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan serta bersenjatakan pisau yang menceroboh masuk ke sebuah unit kediaman di Pavilion Embassy pada 7 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 hingga 3 petang itu, kumpulan suspek melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM2.91 juta, selain merosakkan telefon bimbit serta melarikan pasport milik mangsa warga China berusia 28 tahun.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here