Suspek berusia 45 tahun ditahan di rumahnya di sebuah flat Jalan Gangsa di sini, semalam.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki ditahan polis selepas memukul ibunya sebelum mengancam mahu letupkan tong gas petroleum cecair (LPG) bagi mengelak ditahan polis dalam kejadian di sebuah flat Jalan Gangsa, di sini, semalam.

Suspek berusia 45 tahun itu hanya berjaya diberkas selepas hampir tiga jam pihak polis dan bomba memujuknya untuk menyerahkan diri.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Shaari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan terdapat ancaman bunuh diri di perumahan berkenaan pada jam 10.57 malam.

Jelas beliau, sebaik tiba pihaknya mendapati seorang lelaki dalam keadaan agresif memukul ibunya selain bertindak mengunci pintu rumah serta mengikat pintu gril dengan dawai.

Suspek ancam nyalakan api pada dua injap tong gas yang dibuka sekiranya pasukan penyelamat cuba menyelamatkan ibunya.

“Kita cuba memujuk lelaki itu namun dia tetap bertindak agresif susulan dipercayai berada dalam pengaruh dadah.

“Lelaki itu turut bertindak membuka dua injap tong gas dan mengancam mahu menyalakan api sekiranya pasukan bomba serta polis cuba menyelamatkan ibunya.

“Kita juga terpaksa membuka satu aliran air dalam keadaan bertekanan tinggi sebagai persediaan menghadapi kebakaran susulan lelaki itu menghidupkan pembersih hampagas yang dibimbangi akan mencetuskan api,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shaari, selepas hampir tiga jam memujuk akhirnya lelaki itu melepaskan ibunya serta menyerah diri kepada pihak polis.

Suspek ancam nyalakan api pada dua injap tong gas yang dibuka sekiranya pasukan penyelamat cuba menyelamatkan ibunya.

Difahamkan, lelaki terbabit memukul ibunya berusia 65 tahun menggunakan tukul dan ketika diselamatkan, wanita terbabit berada dalam keadaan trauma sambil memeluk anjingnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, suspek yang ditahan itu merupakan pengganggur selain didapati positif dadah jenis Methamphetamin.

“Suspek direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama,” katanya. – MalaysiaGazette