Rafizi Ramli .-Foto MUHD NA’IM, 27 JUAI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjalani pembedahan tulang belakang dan akan berada di Pusat Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk rawatan selama dua minggu.

Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan keadaan kesihatannya di media sosial hari ini selepas menerima banyak mesej yang prihatin terhadap diri beliau.

“Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan.

“Tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu,” katanya.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, berlaku terkanan terhadap slipped disc berikutan terlantar beberapa hari selepas dijangkiti Covid-19 buat pertama kali pada minggu ketiga Januari.

Keadaan memuncak selepas selepas beberapa minggu sehinggakan tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Sakitnya memang ke langit. Diagnosis dari MRI menunjukkan tulang belakang saya mempunyai masalah stenosis, iaitu ada tekanan dari slipped disc (yang menekan saraf dari depan) dan dari ligamen yang memegang tulang belakang (yang menekan saraf dari belakang) sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik dan saya telah boleh berjalan semula. Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan UPM yang merawat saya,” katanya.

Rafizi turut menerangkan serangan jantung yang dialami pada Oktober 2023 dan menolak kemungkinan ia disebabkan tekanan kerja.

Katanya, serangan jantung yang dialami lebih kepada keadaan kolesterol yang memang tinggi sejak muda.

“Setelah berpuluh tahun hidup dengan kolesterol yang tinggi, sudah tentu ada saluran darah yang tersumbat. Alhamdulillah, prosedur untuk membuka saluran darah di jantung yang tersumbat berjalan dengan baik.

“Terima kasih kepada pakar-pakar dan kakitangan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menjaga saya dengan baik,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi foto menziarahi Rafizi di hospital.

Dalam perkongsian di media sosial rasmi hari ini, Anwar mendoakan Ahli Parlimen Pandan itu diberikan kesembuhan dengan segera.

Pada Oktober tahun lalu media melaporkan, Rafizi berada dalam keadaan stabil selepas menghidap penyakit jantung.

Menurut laporan, Ahli Parlimen Pandan itu dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas mengalami serangan jantung.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast