KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya menjelang pembukaan sidang Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Pihaknya tidak menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mana-mana pihak termasuk pembangkang.
“Tidak ada apa-apa surat atau pun permohonan untuk undi tidak percaya. Saya tidak menerima sama ada surat fizikal mahu pun e-mel sehingga kini,” katanya dalam pertemuan dengan ketua pengarang dan pengamal media berkaitan Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen Ke-15 di sini hari ini.
Sementara itu, Johari berkata, pada sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung mulai 26 Februari hingga 27 Mac ini akan dijalankan dengan lebih serius demi mengangkat kedudukan Dewan Rakyat yang mulia.
Pembaharuan itu dilakukan untuk memastikan kedudukan Parlimen terus mempunyai kewibaan sejajar dengan fungsinya sebagai badan yang menggubal undang-undang di negara ini.
Johari tidak mahu Parlimen dipandang hina oleh rakyat seperti yang berlaku pada sesi-sesi sebelum ini dan menegaskan tempoh ‘bulan madu’ ahli Parlimen telah tamat.
“Kita akan pastikan perjalanan Parlimen nampak world class tidak lagi dilihat menjadi tempat yang ditempelak oleh masyarakat.
“Parlimen menjadi tempat yang termulia sebab kita buat undang-undang dan bukan sahaja terpakai kepada kota tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Bila kita berbahas, berbincang seharusnya diberi perhatian, dihormati dan penuh fakta. Tidak seharusnya dikuasai oleh emosi dan sebagainya,” kata beliau.
Johari telah berbicang dengan dua timbalannya dan akan mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen yang melanggar peraturan mesyuarat.- MalaysiaGazette