KUALA LUMPUR – Persiapan rapi telah dilakukan bagi pembukaan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 yang akan bermula pada 26 Februari ini.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, raptai penuh telah dilakukan hari ini.
Menurut beliau, Parlimen tidak mahu melakukan sebarang kesilapan supaya pembukaan Parlimen berjalan elok, selesa dan menyenangkan hati semua orang.
“Kita menjangkakan tidak ada masalah sebab kita telah menerima Yang di-Pertua Agong yang baharu. Kita berpengalaman dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini yang telah melakukan pembukaan sidang Parlimen.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mempunyai gaya yang tersendiri dan kita telah membuat persiapan,” katanya sambil menambah tidak banyak perubahan dalam prosedur istiadat pembukaan.
Beliau berkata demikian hari ini dalam perjumpaan bersama ketua-ketua pengarang media dan agensi media berkaitan istiadat pembukaan Parlimen Isnin depan.
Katanya, Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Sultan Ibrahim sememangnya akan ditunggu oleh pemimpin dan rakyat di negara ini.
Masyarakat akan mendengar mengenai visi yang akan dibawa oleh baginda semasa pemerintahan.
“Banyak keterujaan untuk menghayati apakah titah tuanku. Apa yang lebih penting bagaimana kita merealisasikan visi tersebut.
“Bila Seri Paduka Baginda menyampaikan titah kita akan mengetahui mesej yang hendak disampaikan.
“Kita semua sangat tertunggu-tunggu titah pertama Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat. Titah Yang di-Pertuan Agong adalah perintah yang perlu diikuti,” katanya.
Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun pada 31 Januari lalu.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Sultan Ibrahim menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Jan 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.- MalaysiaGazette