Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Azman Adnan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan daripada Universiti Malaya (UM), berpengalaman selama lebih 34 tahun dalam bidang pendidikan.

Kementerian Pendidikan berkata, Azman memulakan kerjaya sebagai guru, sebelum dilantik sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran, Penyelia Petang, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan Pengetua sekolah.

“Beliau berpengalaman memimpin institusi pendidikan di pelbagai peringkat termasuk sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Segamat, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Johor.

Pada peringkat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Azman berpengalaman menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian
Pengurusan Sekolah Harian sebelum dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).

“Semoga pengalaman luas Azman di pelbagai peringkat dapat memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan,” katanya. – MalaysiaGazette