Azman Adam

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)  menyerbu sebuah premis di Jalan Bukit Palong, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan disyaki dijadikan stor haram tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi pada 16 Februari lalu dalam Ops Tiris 3.0.

Serbuan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDN Putrajaya yang bermula kira-kira jam 11 malam hasil maklumat awal daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan risikan.

Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket ini adalah mengisi minyak diesel bersubsidi daripada beberapa buah stesen minyak di sekitar kawasan berhampiran dengan menggunakan lori yang telah diubah suai sebelum dibawa ke lokasi serbuan yang dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan sebelum dijual di pasaran gelap.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keseluruhan premis itu menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 15,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Dua buah lori, paip penyambung, minyak diesel dan beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM113,750.

Seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.

Azman berkata, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.

Manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.

Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613] iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada
aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette