Laluan mendaki di Gunung Angsi.

SEREMBAN – Enam pendaki yang sesat di Gunung Angsi, Kuala Pilah malam tadi ditemukan selamat pada pukul 2.34  pagi ini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan.

Komander Operasi Balai Bomba Seri Menanti Yusry Abdullah Sani berkata, operasi Khas Storm menemukan keenam-enam mereka dalam keadaan selamat, namun seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian lutut.

“Mereka telah diberi rawatan awal oleh Pasukan Khas EMRS dan kesemua mereka dibenarkan pulang oleh pihak polis dengan menaiki kenderaan sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata agensi terlibat dalam operasi mencari mangsa ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Renjer Hutan, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Anggota Sukarelawan Malaysia (RELA).

Bernama semalam melaporkan bomba menerima aduan kira-kira pukul 7.31 malam berkenaan empat wanita dan dua lelaki dikhuatiri sesat ketika mendaki gunung berkenaan.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 28 hingga 42 tahun dipercayai dari Selangor, didapati telah mendaftar terlebih dahulu di pondok pejabat hutan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast