Tertuduh Dicky meninggalkan mahkamah selepas menghadapi pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram ke akaun peribadi pada tahun 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus harta di Bahagian Pengurusan Harta Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan memindahkan wang RM40,000 yang disyaki hasil aktiviti haram ke akaun peribadinya dalam kejadian pada 2021.

Tertuduh Dicky Rahmat Abdullah, 49, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut fakta pertuduhan, tertuduh telah memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM40,000 daripada akaun Maybank milik sebuah syairkat SA Elite Enterprise ke akaun milik peribadinya dalam bank yang sama.

Dicky didakwa melakukan kesalahan itu antara 8 September hingga 9 Disember 2021 bertempat di Maybank Islamic di Wisma Prima Peninsular, Jalan Setiawangsa, Cawangan Taman Setiawangsa.

Tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(b) AktaPencegahan Pengubahan Wang Haram,Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat manakala peguamnya diwakili oleh Diar Isda Yasmin Ismail.

Irwan kemudian mencadangkan mahkamah agar memindahkan sebutan kes berkenaan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam memandangkan tertuduh pernah didakwa atas 10 pertuduhan dalam satu kes berasingan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 pada 14 Februari lalu.

“Puan hakim, tertuduh juga dikenakan wang jaminan RM60,000 dalam kes berkenaan dan saya memohon mahkamah agar menetapkan nilai wang jaminan yang sama dalam kes ini kepada tertuduh,” katanya.

Sementara itu, peguam tertuduh, Diar Isda bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Yang Arif, saya juga memohon budi bicara mahkamah agar tarikh sebutan kes juga ditetapkan pada 3 April 2024 untuk dibicarakan bersama pertuduhan pertama kes SPRM membabitkan tertuduh,” ujarnya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura kemudian memerintahkan tertuduh diikat dengan wang jaminan RM60,000 seperti dicadangkan TPR dan menetapkan tarikh 3 April sebagai sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.- MalaysiaGazette