Lakaran artis Projek Perumahan di Galeri Kita Cybersouth, Selangor. Foto MUHD NA'IM 27 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kajian Sentimen Pengguna (CSS) separuh pertama 2024, yang mendedahkan 30% daripada responden merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang.

Dalam kalangan kumpulan ini, 60% mempertimbangkan untuk membeli rumah bernilai RM400,000 atau kurang, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia.

Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda.

Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diingat bahawa Pandangan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru 2024 menunjukkan penurunan
suku kepada suku sebanyak 7.4% dalam Indeks Permintaan Jualan pada Q4 2023.

“Ini menunjukkan walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas oleh pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah,” katanya.

Kajian PropertyGuru 2024 juga menunjukkan 60% daripada responden bersetuju peningkatan kadar cukai perkhidmatan, seperti yang diperkenalkan dalam Bajet 2024, akan mempengaruhi kos pembelian hartanah.

Ini akan menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan pembelian mereka.

Selain itu, harga yang tinggi telah mengalih minat pembeli ke arah pasaran sewa.

Trend sewa telah mengekalkan permintaan yang kuat sepanjang 2023 dan dijangka meningkat dalam tempoh yang terdekat.

Apabila pasaran berkembang, adalah penting bagi pemain industri untuk memahami keutamaan dan trend
pengguna semasa.

Pendekatan ini membolehkan mereka menyesuaikan tawaran hartanah mereka dan menyumbang kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Sheldon berkata, selain kewangan, bakal pembeli rumah menyatakan kebimbangan tentang kelewatan pembinaan projek (65%) dan kualiti pembinaan rendah (64%) apabila mempertimbangkan hartanah yang baharu dilancarkan.

Kebimbangan ini menonjolkan kepentingan pengurusan projek dan kawalan kualiti, serta keperluan pemaju hartanah untuk
menangani isu-isu ini bagi menarik perhatian bakal pembeli rumah.

“Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai telah dikenal pasti di seluruh negara menjelang Jun 2023.

“Oleh itu, tidak menghairankan bahawa 66% daripada responden menuntut penguatkuasaan yang lebih baik oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan tertinggi semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

“Manakala 66% menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju untuk melindungi pembeli daripada kehilangan dana disebabkan kebankrapan atau aktiviti penipuan oleh pemaju.

“Penemuan ini menegaskan kepentingan dasar perumahan yang lebih kuat untuk melindungi kepentingan pembeli dan meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah,” tambah Sheldon.

Kajian tersebut mendedahkan keutamaan keberkesanan kos dalam ciri-ciri hartanah apabila 37% responden berpendapatan rendah dan 40% responden berpendapatan sederhana bersedia untuk mengabaikan beberapa kemudahan.

Ini termasuk dek yoga (42%), jakuzi (38%), gelanggang tenis (29%), kolam renang (24%), gimnasium, dan tempat letak kereta yang ditetapkan (23%).

Penemuan ini mencerminkan perubahan dalam keutamaan pengguna ke arah rasional yang berorientasikan nilai, menekankan ciri-ciri hartanah yang penting sambil mematuhi bajet tersendiri.

Sementara itu, 62% responden, terutamanya dalam kalangan berpendapatan sederhana, percaya rumah dengan ciri-ciri hijau akan membantu mengurangkan kos operasi hartanah dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette