Van jenazah yang membawa bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud dari Cardiac Vascular Sentral, diiringi anggota polis untuk dibawa ke Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 21 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung di seluruh negeri bermula hari ini susulan kematian Tun Abdul Taib Mahmud, pagi tadi.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4.40 pagi.

Susulan itu bendera dinaiikan separuh tiang dan sebarang acara rasmi melibatkan hiburan ditangguhkan.

Unit Komunikasi Awam Sarawak berkata, masjid dan rumah ibadah digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Abdul Taib.

“Kerajaan Sarawak merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak itu  akan dibawa terus ke kediamannya di Demak Jaya, Jalan Bako dekat Kuching sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur petang ini.

Unit Komunikasi Awam Sarawak berkata, jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, 22 Februari bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 11.30 pagi.

Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak berdekatan kediaman beliau untuk disolatkan sebelum dikebumikan di perkuburan keluarga di Demak Jaya. – MalaysiaGazette