Pasukan forensik polis membuat pemeriksaan ke atas pemandu kereta yang terbaring dalam keadaan tidak bernyawa selepas dipercayai dipukul sekumpulan orang awam dalam kejadian di Semenyih malam tadi. Ihsan Media sosial.

KAJANG – Lima lelaki yang disyaki yang dipercayai mengejar, mengikat dan memukul seorang pemandu kereta hingga mati berjaya diberkas polis malam tadi.

Mereka dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa langgar lari seorang penghantar makanan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 22 hingga 52 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Semenyih dan Beranang.

Menurut beliau, polis pihaknya menerima aduan tentang satu kejadian kemalangan maut di kawasan Taman Pelangi Semenyih 2 di sini pada pukul 9,20 malam.

Selepas tiba di kawasan kejadian, polis mendapati sebuah kenderaan jenis Proton Saga warna kelabu yang dipandu mangsa berusia 42 tahun itu terbabas melanggar pagar kawasan perumahan tersebut.

Manakala, pemandu dalam keadaan terbaring atas jalan dengan kesan pergelangan tangan seperti diikat.

“Ambulans yang tiba ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa seorang lelaki telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid menambah, terdapat saksi penghuni di kawasan perumahan tersebut melihat mangsa yang terbabas telah ditarik keluar dari keretanya oleh sekumpulan lelaki dan dipukul serta tangan mangsa diikat sambil terbaring di tengah jalan berhampiran kereta.

Tetapi, semasa kereta peronda polis tiba di lokasi, kesemua individu berkenaan beredar dari tempat tersebut.

“Siasatan awal setakat ini berpunca dari kemalangan dan simati telah melarikan diri dari lokasi sebelum dikejar oleh orang awam.

“Tetapi sehingga kini tiada pihak yang buat laporan. Motif kejadian masih disiasat,” ujarnya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Kes sedang dijalankan siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Zaid berkata, kesemua suspek tangkapan telah direman selama lima hari sehingga 25 Februari ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes ASP Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100 dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Selangor, dan Insp. Ammar Bin Tahir dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di talian 018-2194013 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette