mahathir mohamad
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa takut dengan bayang-bayang sendiri apabila mendakwa pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Batu Puteh ada konflik kepentingan.

Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi berkata, Dr Mahathir yang ada konflik kepentingan apabila Md Raus meletak jawatan Ketua Hakim Negara dulu.

Oleh itu, Dr Mahathir yang kepanasan.

“Apa kelayakan Tun M bercakap isu konflik kepentingan. Dia orang yang paling banyak diselubungi konflik kepentingan ketika di puncak kuasa

“Dia melantik Datuk Mohd Shukri yang sudah bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Kemudian lantik Latheefa Koya (orang politik) ganti Shukri.

“Perlantikan Richard Malanjun Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Raus juga kontroversi. Bahkan perlantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak juga dipertikaikan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Berikutan itu, Puad berkata, bantahan Dr Mahathir tidak perlu dilayan.

Lagipun, rakyat mahu tahu kenapa bekas perdana menteri dua kali itu membatalkan rayuan semakan keputusan Pulau Batu Puteh.

Ia amat misteri, ujarnya.

“Kenapa tidak dibawa ke Kabinet? Kenapa buat keputusan tergesa gesa. Peguam Negara ketika itu pula dipaksa cuti?

“Tun M cari alasan untuk mengelak RCI. Dia tahu dosa kehilangan wilayah amat berat dan tidak boleh dimaafkan ke anak cucu,” tambah Puad.

Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir berkemungkinan tidak akan menyertai RCI untuk mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah Dan Tubir Selatan jika ia terus diterajui oleh bekas Ketua Hakim Negara itu.

Peguam kepada Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya tiada pilihan lain kecuali menasihatkan Dr Mahathir untuk tidak menyertai RCI terbabit atas alasan Md Raus mempunyai konflik kepentingan dalam kes berkenaan.

Peguam itu menambah, umum mengetahui bahawa RCI Batu Puteh adalah berkenaan keputusan Kerajaan Persekutuan pada 31 Jun 2018 untuk menarik balik dua permohonan semakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap keputusan yang dibuat pada 23 Mei 2008 dan Dr Mahathir adalah Perdana Menteri pada masa keputusan terbabit dibuat.

“Pelantikan Tun Md Raus sebagai Pengerusi RCI Batu Puteh berkenaan jelas bertentangan dengan prinsip keadilan asasi memandangkan Tun Md Raus adalah pihak yang amat berkepentingan,” kata beliau.

Pada 2017, Dr Mahathir memfailkan satu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keabsahan pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan kerana sudah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan (rujuk Tun Dr Mahathir bin Mohamad v Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak & Ors [2018] 8 MLJ 297).

Md Raus telah bertemu dengan Dr Mahathir pada 15 Mei 2018, untuk menyatakan hasratnya meletak jawatan Ketua Hakim Negara.

Peguam itu menambah, Md Raus Sharif kemudiannya mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 7 Jun 2018 yang mana diperkenankan oleh baginda pada 11 Jun 2018.

“Oleh sebab-sebab sedemikian dan atas nama keadilan bagi Dr Mahathir, pihaknya memohon agar kerajaan menggantikan Pengerusi RCI dengan seorang yang tidak berkonflik kepentingan, atau dalam maksud mencari kebenaran adalah wajar Tun Md Raus menarik diri dari posisi terbabit,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast