Perangkap beruang yang dipasang oleh Perhilitan di Kampung Pengkalan Gelap. Foto FB Terengganu State Parks

PERMAISURI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu giat membuat pemantauan bagi menangkap dua ekor beruang matahari yang dilaporkan berkeliaran di sekitar Kampung Pengkalan Gelap, di sini minggu lepas.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata, sebaik menerima aduan, dua perangkap telah dipasang bagi menangkap beruang tersebut yang turut memusnahkan ternakan kelulut milik penduduk kampung.

“Bagaimanapun, setakat ini beruang matahari itu belum masuk perangkap dan usaha menangkapnya  sedang dilakukan.

“Orang ramai diminta untuk segera maklumkan kepada kami sekiranya mendapati haiwan liar itu masih berkeliaran di kawasan tersebut atau jika ia telah masuk perangkap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Loo berkata, pihaknya turut memohon kerjasama penduduk setempat untuk menjaga dan memperbaharui umpan yang diletakkan di dalam perangkap bagi menarik perhatian haiwan liar itu.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengganggu atau mendekati sekiranya terserempak dengan beruang matahari berkenaan.

“Kita juga minta agar jangan berkumpul beramai-ramai untuk melihat beruang dan mengambil gambar terutamanya dengan menggunakan ‘flash’ jika beruang itu sudah masuk perangkap kerana ia boleh menyebabkan tertekan dan dikhuatiri akan bertindak secara agresif,” katanya.

Loo berkata buat masa ini pihaknya juga belum dapat memastikan hubungan kedua-dua beruang tersebut sama ada anak-beranak atau pasangan.

“Kami percaya mereka datang dari hutan berhampiran kerana dipercayai tertarik dengan madu kelulut yang diusahakan penduduk kampung,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kebimbangan penduduk Kampung Pengkalan Gelap terhadap keselamatan mereka dengan kehadiran dua ekor beruang yang berkeliaran terutamanya pada lewat malam dan awal pagi di kampung itu.

Hidupan liar itu juga dilaporkan telah memusnahkan sarang kelulut yang diusahakan peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan milik perseorangan hingga menyebabkan kerugian kira-kira RM30,000 pada Selasa lepas. -BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast