Presiden Internantional Association for Islamic Economics (IAIE), Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohd Azmi Omar pada majlis penutup International Conference on Islamic Economics and Finance 2024 (ICIEF 2024) di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) ke-15 memberi fokus kepada strategi dan langkah ke hadapan untuk membangunkan ekonomi serta kewangan lebih bersepadu, mampan dan manusiawi.

Presiden Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE), Prof Emiritus Datuk Dr Azmi Omar berkata, ia bertepatan dengan salah satu nilai teras Malaysia MADANI iaitu mewujudkan kesejahteraan ekonomi, sosial dan kemampanan alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.

“ICIEF memberi tumpuan bukan sahaja pembangunan teori dan aspek amalannya, bahkan isu berkaitan dasar ekonomi dan kewangan Islam.

“Ia menumpukan kepada kemampanan mutu hidup serta daya cipta dalam sistem Syariah, perakaunan, tadbir urus, pengurusan dan pemasaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup di Sasan Kijang, Bank Negara Malaysia hari ini.

Persidangan ICIEF ke-15 ini mengangkat tema Driving the Agenda for a Sustainable Humane Economy.

Persidangan ICIEF anjuran Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS), UIAM dengan usahasama Kementerian Kewangan Malaysia dan IAIE bersempena dengan Ulang Tahun UIAM yang ke-40.

Azmi juga berkata, melalui aktiviti akademik seperti pengajaran dan penyelidikan, ICIEP telah menyumbang kepada kemajuan bidang ekonomi dan kewangan Islam.

“Penubuhan institusi pengajian tinggi seperti UIAM dan institusi kewangan tempatan dan global seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta Islamic Development Bank (IsDB) telah menyediakan platform untuk perpaduan antara ilmu dan amalan profesional.

“Kali pertama penganjuran ICIEF di Makkah pada 1976 menjadi pencetus kepada disiplin ilmu baharu Ekonomi Islam,” katanya.

Katanya lagi, selepas hampir lima dekad kemudian, penerokaan ilmu ekonomi Islam telah berjaya menyusun semula prinsip kewangan dan transaksi dalam pasaran moden.

“Ciri-ciri ekonomi Islam juga telah mengubah tingkah laku masyarakat di dalam urusan perdagangan dan pertukaran komoditi era ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, ICIEF menghimpunkan 500 peserta dari dalam dan luar negara seperti Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Morocco, Turkiye, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Germany, dan India.

“Persidangan ini akan terus relevan untuk para sarjana, pengamal industri, dan pembuat dasar membentangkan idea dan berkongsi pandangan untuk kemajuan ekonomi Malaysia khususnya dan negara Islam dan bukan Islam umumnya,” katanya.

Katanya lagi, lebih 60 pembentangan kertas kerja secara bersemuka dan poster, empat sesi plenari dan ucaptama, serta dua simposium pendidikan ekonomi dan kewangan Islam dijalankan sepanjang tiga hari.

“Lebih 30 ilmuwan dari institusi pengajian dan penyelidikan, serta pengamal dari industri swasta dan bukan kerajaan terlibat dalam sesi plenari ICIEF ke-15.

“Antaranya termasuk dari UIAM, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) Universiti, IPB University, Istanbul Sabahattin Zaim University dan banyak lagi institusi pendidikan dan industri dalam bidang kewangan serta perbankan Islam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette