Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun 2023 iaitu 23.0% lebih tinggi berbanding tahun 2022 dan jumlah itu tertinggi dalam sejarah negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada jumlah pelaburan tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2% berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8%.

Prestasi cemerlang ini disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1% bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3% bagi pelaburan asing.

Secara tidak langsung, ini merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan telah mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.

“Landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perkara ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini.

Jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh (51.1%) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1%) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8%).

Anwar berkata, mesyuarat MPN itu juga telah membincangkan mengenai hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat dan merupakan di antara sektor ekonomi yang penting dalam memperkukuhkan agenda pelaburan negara.

Menurut beliau, ekonomi digital di Malaysia yang telah menyumbang sebanyak 23.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, diunjurkan meningkat kepada 25.5% menjelang tahun 2025.

Bagi tempoh 2021 – 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion, yang merangkumi projek yang diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).

Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan.

Antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan.

“Kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.

“Justeru, kerajaan perlu memudah cara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” kata perdana menteri lagi. – MalaysiaGazette