Wendy Subramaniam

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bertindak dan melaksanakan strategi ampuh dalam menangani kejatuhan ringgit ketika ini.

Timbalan Setiusaha Agung Parti Gerakan Tanahair (Gerakan), Wendy Subramaniam berkata, langkah itu perlu bukan sahaja melibatkan dolar Amerika Syarikat tetapi mata wang asing yang lain juga termasuk ASEAN.

“Gerakan ingin mengingatkan Kerajaan Madani akan ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 2022 yang menyelar Kerajaan Perikatan Nasional dengan mendakwa PN tidak pandai menjaga negara punca nilai matawang jatuh.

Anwar juga, katanya, mendakwa ringgit jatuh sebab tidak stabil, orang tak yakin dan pelabur tak masuk.

“Persoalannya sekarang, siapa yang tak pandai jaga nilai ringgit? PN atau PH,” soalnya menerusi kenyataan.

Wendy berkata, pada pandangannya, jika situasi tersebut berlaku kepada kerajaan sebelum ini, sudah pasti mereka yang kononnya ‘pakar formula ekonomi’ dan ‘pakar reformasi’ akan menjadi hero.

“Ketika jadi pembangkang, Anwar dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli antara individu yang sering menyerang dan menyalahkan kerajaan dan mengatakan ‘kalau tidak pandai menjaga negara lebih baik ikat Najib Razak daripada ikat mata wang’.

“Tetapi, apabila sudah menjadi kerajaan, beberapa bulan lalu kedua-dua pakar daripada Parti Keadilan Rakyat tersebut mula menyebut “kejatuhan nilai ringgit bukan sebab saya” dan “ringgit jatuh jangan hanya salahkan kerajaan”,” ujarnya.

Tambah beliau, meskipun faktor luar menjadi pemacu utama kepada kemerosotan ringgit namun tidak bermakna kerajaan tidak boleh membuat sesuatu bagi mengekang kejatuhan berterusan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast