KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan untuk memulangkan pasport secara sementara kepada Pengarah Hydroshoppe Sdn. Bhd., Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang mahu ke Amerika Syarikat (AS) dan Jerman bagi urusan perniagaan.
Untuk makluman, Abdul Hamid Shaikh ketika ini sedang berdepan tuduhan menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berhubung proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan itu telah diikat jamin RM50,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan pasportnya ditahan sehingga selesai kes.
Bagaimanapun tertuduh memohon untuk mendapatkannya kembali bagi tujuan urusan perniagaan dan permohonan tersebut tidak mendapat bantahan pendakwaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzanna Husin membenarkan pemulangan sementara selepas menyoal keperluan tersebut kepada pendakwaan.
Kata pendakwaan yang diwakili oleh Rasyidah Murni, pihaknya tidak membantah setelah mengkaji pemulangan pasport sementara itu.
Mahkamah kemudian membenarkan pemulangan pasport tersebut hari ini dan ianya perlu dipulangkan sebelum 21 Mac depan.
Pada Ogos tahun lalu, mahkamah menolak permohonan Abdul Hamid Shaikh untuk membatalkan pertuduhan menawarkan suapan bagi tujuan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur itu.
Hakim Suzana Hussin menolak permohonan tersebut selepas meneliti dan mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan.
Pada 31 Mei lalu, Abdul Hamid Shaikh memfailkan permohonan itu atas alasan pertuduhan terhadapnya di bawah Seksyen 16 (b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah cacat selain tidak berasas kerana tidak menyatakan butiran penting dalam pertuduhan iaitu tarikh spesifik bagi kesalahan.
Pada 5 April lalu, Abdul Hamid Shaikh didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay, 60, sebagai dorongan kepada Annuar ketika itu untuk mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022. -MalaysiaGazette