Sambutan Tahun Baharu Cina HRD Corp meriah bersama Menteri KSM, Steven Sim di MITEC.

KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan penuh kemeriahan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini malam tadi.

Ia turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim  Chee Keong selain Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif, Datuk Wira Shahul Dawood.

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu termasuk pemegang taruh HRD Corp terdiri daripada majikan Malaysia, persatuan industri, jurulatih, penyedia latihan dan juga wakil media.

Steven ketika berucap pada majlis itu melahirkan rasa teruja dan gembira kerana bukan sahaja kerana sambutan utama masyarakat Tionghua sebaliknya juga pelbagai kejayaan HRD Corp turut diraikan dalam majlis yang sama.

“Kementerian Sumber Manusia menerusi HRD Corp telah mencapai rekod terbaik tahun lepas dengan pungutan levi tertinggi sebanyak RM2.2 bilion, pemberian kelulusan geran bantuan kewangan  sebanyak RM1.78 bilion dan kelulusan lebih daripada 2.2 juta tempat latihan sejak penubuhannya pada tahun 1993.

“Sebagai perbandingan, tahun lalu HRD Corp merekodkan pungutan levi sebanyak RM1.81 bilion, meluluskan lebih RM728 juta tuntutan dana latihan dan meluluskan 1.15 juta tempat latihan.

“KSM komited untuk menyediakan program latihan berkualiti kepada semua rakyat Malaysia untuk meningkatkan produktiviti dan ekonomi negara.

“Ini selaras dengan fokus 3K kami untuk meningkatkan Kebajikan, Kemahiran, dan Keberhasilan dalam kalangan pekerja Malaysia,” katanya.

Menteri KSM, Steven Sim

Steven Sim juga turut memberikan mandat kepada HRD Corp untuk menyediakan program latihan kepada semua lapisan masyarakat khususnya usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana serta individu di kawasan luar bandar.

Ini bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang terlepas peluang untuk mendapatkan latihan dan pembangunan.

“Saya juga berharap HRD Corp terus menjalin kerjasama dengan pihak berkepentingan lain untuk mendorong dan mempromosikan pembangunan kemahiran di negara ini supaya Malaysia suatu hari nanti mencapai status Ivy League dalam latihan dan pembangunan.

“Ini secara tidak langsung telah memberikan cabaran kepada kementerian dan HRD Corp untuk menjadikan latihan dan pembangunan modal insan sebagai sektor yang paling penting di Malaysia pada tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abu Huraira pula berkata, semua kejayaan yang dicapai HRD Corp tahun lalu tidak akan mungkin terjadi tanpa bantuan dan sokongan dari organisasi lain.

“Sambutan rumah terbuka hari ini juga merupakan tanda penghargaan kami kepada setiap majikan berdaftar, penyedia latihan dan semua pihak berkepentingan kami atas semua usaha yang telah kita lakukan bersama demi menyokong agenda pembangunan negara,” ujarnya.

Tambahnya, HRD Corp akan teguh berdiri menyokong kepimpinan menteri dan agensi ini mengalu-alukan sokongan berterusan dari para pemegang taruh.

Antara aktiviti yang diadakan semasa sambutan termasuklah Yee Sang, persembahan tarian singa dan naga serta pelbagai persembahan seni tradisional Cina yang lain. – MalaysiaGazette