Empangan Hidro Chenderoh

KUALA LUMPUR –  Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini memulakan projek fotovoltan (PV)  Hibrid Solar Terapung Hidro (HHFS) di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) di tasik empangan hidronya selepas kejayaan projek percubaan solar terapungnya di kolam abu Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato’ Seri Ir. Baharin Din berkata, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bercadang untuk melaksanakan projek pembangunan 2,500 Megawatt (MW) HHFS.

Inisiatif Peralihan Tenaga ini bertanggungjawab dalam menyediakan solusi tenaga lestari dengan impak ekologi yang positif.

Katanya, dengan menggunakan air untuk pepasangan solar, TNB boleh menjimatkan penggunaan tanah, mengekalkan habitat semula jadi dan mengurangkan pengewapan air.

Berbeza dengan loji jana kuasa termal, ladang solar terapung tidak menghasilkan buangan air atau udara yang boleh memberi kesan negatif kepada kualiti persekitaran (air atau udara).

Ia membantu mengurangkan pencemaran dan menyokong biodiversiti dengan kadar gangguan yang minimum kepada ekosistem akuatik.

“Solar terapung adalah sejajar dengan prinsip pembangunan tenaga lestari dengan mengurangkan impak perubahan iklim, melalui pengurangan pelepasan gas rumah hijau serta memberikan manfaat ekonomi dari segi pelaburan dan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan. Secara keseluruhannya, ia mencerminkan integrasi harmoni penjanaan TBB dengan pemeliharaan alam sekitar

“Perancangan teliti dan penilaian impak alam sekitar merupakan aspek penting dalam memastikan integrasi yang lestari bagi pepasangan ini ke dalam ekosistem air,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Untuk solar terapung mini TNB di SJSAS, syarikat utiliti itu menjalankan kajian ekologi melalui TNB Research Sdn Bhd (TNBR), anak syarikat milik penuh TNB.

Setiap komponen sistem solar terapung dipilih & direka dengan teliti. Malahan pengapung atau ponton juga diperbuat daripada polyethene berketumpatan tinggi yang diperakukan untuk mengurangkan impak ke atas kualiti air.

Projek ini tidak menunjukkan kesan buruk terhadap hidupan liar yang tinggal di kawasan sekitar.

Sejak tahun 2019, Solar Terapung PV di kolam abu seluas 175 hektar di SJSAS telah menghasilkan lebih 600MWh tenaga. Terdapat 288 modul PV solar yang telah dipasang dengan kapasiti sebanyak 105.12kWp, setara dengan pengurangan CO2 sebanyak 390 tan selama 4 tahun beroperasi, atau penyerapan CO2 oleh 15,624 pokok.

Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh sistem ini mampu memenuhi keperluan tenaga bagi 30 buah rumah.

TNB merancang untuk mempercepat pelaksanaan 2,500MW HHFS, bermula dengan 30MW di Empangan Hidro Chenderohnya, diikuti dengan lokasi di Empangan Hidro Temenggor dan Kenyir.

“Ladang solar terapung boleh melengkapkan sumber TBB lain untuk membekalkan tenaga kepada grid kebangsaan dengan potensi untuk meningkatkan tenaga bersih secara ketara,” tambah Baharin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast