Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat pada istiadat pembukaan rasmi persidangan Mesyuarat Pertama Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri Perak Ke-15, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto: ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 FEBRUARI 2024

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, agenda menoktahi kemiskinan menjadi salah satu matlamat untuk menjamin kesejahteraan sosial rakyat.

Baginda bertitah, usaha pembasmian kemiskinan bukan sekadar memberi fokus kepada peningkatan pendapatan, tetapi turut mengambil kira kualiti dan kesejahteraan hidup; direalisasikan dengan menyediakan jaringan keselamatan sosial yang kukuh serta perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik.

“Bangunan megah mencakar langit tidak memberi makna sekiranya masih ada rakyat yang terpaksa mengikat perut, mencatu makanan dan tidur berbumbung langit.  Selagi ada rakyat yang miskin, usaha membasmi kemiskinan wajib diteruskan.

“Menoktahi kemiskinan tegar menjadi tumpuan Kerajaan Beta di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, dengan matlamat mengagihkan kekayaan negeri seadil-adilnya untuk dinikmati oleh setiap rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah sewaktu Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Turut berkenan berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Justeru, baginda bertitah, dalam usaha memakmurkan negeri, kesalingan hubungan kesihatan dan penentu sosial kesihatan yang membentuk kesejahteraan rakyat perlu diberikan perhatian.

“Kesihatan yang baik bukan sekadar ketiadaan penyakit, tetapi keadaan holistik yang merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.

“Perlu disedari health outcomes tidak ditentukan semata-mata oleh perkhidmatan kesihatan yang disediakan, sebaliknya tahap kesihatan seseorang dipengaruhi oleh penentu-penentu lain antaranya, tempat dilahirkan dan tempat membesar, begitu juga suasana hidup, bekerja dan menua,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah, untuk membina masyarakat berdaya tahan dan berkembang maju, terutama dalam persiapan menghadapi masyarakat negeri ini yang semakin menua, penentu-penentu sosial kesihatan amat penting diberi perhatian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast