Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM328.5 bilion pelaburan yang diluluskan pada tahun lalu melibatkan 5,101 projek yang berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian jumlah pelaburan tersebut mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara, malah peningkatan 35.1% bagi pelaburan domestik juga mencerminkan keyakinan terhadap dasar-dasar Kerajaan Madani

“Bagi tempoh 2021 sehingga 2023, sebanyak 2,386 projek perkilangan telah diluluskan, yang mana secara umumnya akan mengambil masa 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan, bergantung kepada tahap kerumitan sesuatu projek,” katanya dalam kenyataan di sini.

Antara projek-projek yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang singkat (kurang daripada 18 bulan) termasuk Enovix Malaysia Sdn. Bhd. yang ditubuhkan oleh Enovix Corporation (Enovix), pengilang yang membangunkan fasiliti pengilangan volum tinggi
pertama (Fab2) bateri silikon.

Enovix yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan melabur sejumlah RM5.8 bilion (AS$1.2 bilion) di Malaysia dalam tempoh 15 tahun,
termasuk manufacturing line pertama berjumlah RM315 juta (AS$70 juta).

Dengan fasilitasi oleh MIDA dan agensi-agensi tertentu, syarikat berjaya melaksanakan projek dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Selain itu, Ferrotec Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. yang menubuhkan fasiliti pengilangan pertama di rantau Asia
Tenggara, khusus untuk mengendalikan pemasangan peralatan elektromekanikal dan fabrikasi bahan termaju bagi industri
semikonduktor.

Pencapaian ini mewakili satu langkah penting ke arah merevolusikan industri rantaian bekalan, sejajar dengan keperluan pelanggan dan permintaan kapasiti yang semakin meningkat dalam pasaran Asia yang dinamik.

Manakala Ultra Clean Technology (Malaysia) Sdn. Bhd., kali ini membuat pelaburan dalam projek pembesaran keupayaan bagi mengeluarkan ‘gas delivery systems, weldment and related module, parts & components’ di Pulau Pinang.

Syarikat merupakan pengeluar peralatan, modul dan komponen kepada industri semikonduktor.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan segera dan tuntas bagi merealisasikan pelaburan diluluskan ini telah dilaksanakan melalui platform seperti Majlis Pelaburan Negara (MPN); Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) dan Investment Coordination Committee Meeting (ICCM).

MIDA melalui Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK) juga komited untuk memastikan projek-projek perkilangan yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan segera.

“Setakat ini, MITI dan agensinya juga telah banyak memudahcara perjalanan pelabur di Malaysia melalui Invest Malaysia Facilitation
Centre yang bertempat di MIDA, yang mana pelabur boleh menyelesaikan pelbagai urusan pentadbiran secara langsung
dengan pihak berkuasa seperti kastam, imigresen, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Buruh.

“Memandang ke hadapan, MITI juga akan mengutamakan pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri agar kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.

“Kita juga akan mengutamakan pembukaan peluang kepada syarikat dan PKS tempatan untuk menerima manfaat
dari pelbagai pelaburan yang dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya.