SEPANG – AirAsia meraikan penerbangan sulung dari bandar selatan India iaitu Thiruvananthapuram menjadikannya laluan terus kedua syarikat penerbangan ini ke negeri Kerala selain Kochi bermula Khamis lepas.
Laluan baharu ini dikendalikan dengan empat penerbangan mingguan dan menawarkan pengembara pelbagai tarikan untuk diterokai di Kerala yang turut menjadi tumpuan pelancong dunia termasuk Malaysia.
Inisiatif itu juga mendapat pujian Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang berpandangan AirAsia berjaya memperluaskan rangkaian laluan udara antara Malaysia dan India dan membolehkan lebih ramai pelancong mengunjungi Malaysia.
Katanya, ini juga selepas pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai pengecualian visa bagi warganegara India ke Malaysia.
“Kita jangka lebih ramai pelancong dari India akan melawat Malaysia pada masa akan datang terutamanya pada tahun ini,” katanya selepas hadir menerima pelancong penerbangan pertama daripada Thiruvananthapuram ke Kuala Lumpur di sini baru-baru ini.
Thiruvananthapuram mempunyai pelbagai keunikan seni bina, juadah tempatan yang enak, keindahan pantai dan pelbagai tarikan memukau di destinasi tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya teruja dengan pelancaran laluan baharu ini dari Trivandrum ke Kuala Lumpur dan berbesar hati untuk meraikan para tetamu dari bandar yang menakjubkan ini.
“Untuk tempoh 15 tahun yang lepas, AirAsia telah mengubah landskap perjalanan di India secara drastik dan menghubungkan jutaan pelancong ke Malaysia dan lain-lain dengan tambang berpatutan.
“Kami berharap untuk melancarkan lebih banyak laluan unik dan menawarkan pengalaman perjalanan lebih baik untuk para tetamu,” ujarnya.
AirAsia kini mengendalikan rangkaian luas dengan 10 laluan antarabangsa secara terus dari India ke Malaysia dengan jumlah 56 penerbangan mingguan bagi penerbangan jarak dekat oleh AirAsia Malaysia (kod penerbangan AK) seperti Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Ahmedabad, Jaipur dan Visakhapatnam.
Bagi penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia (kod penerbangan D7) mengendalikan dua laluan secara terus dari New Delhi dan Amritsar ke Kuala Lumpur dengan lapan penerbangan mingguan.
Pengembangan perkhidmatan AirAsia ke India menawarkan pengalaman perjalanan yang menyeluruh dan lancar untuk pengembara di seluruh India ke rangkaian tambang rendah terluas di Asia. – MalaysiaGazette