Haqimi Azim Rosli

KUALA LUMPUR – Pemain muda meningkat naik pasukan Kuala Lumpur City dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

Haqimi Azim Rosli kini berada dalam radar skuad Red Giants bagi memperkukuhkan jentera serangan pasukan.

Setakat ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu memiliki dua penyerang iaitu Danial Asri dan seorang lagi pemain import yang baru sahaja dibawa masuk iaitu Ronnie Fernandez.

Sekiranya Haqimi menyertai Selangor, dia perlu bersaing dengan dua pemain di atas dan besar kemungkinan pemain berusia 21 tahun ini akan terlibat dalam saingan Piala MFL.

Nama Haqimi mula menjadi sebutab selepas dia menjaringkan gol dalam aksi peringkat kumpulan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 ketika menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika itu pengendali pasukan, Kim Pan-gon memasukkan beliau pada separuh masa kedua dan kemudiannya melepaskan satu voli dalam kawasan penalti yang menghadiahkan jaringan pertama bagi skuad senior negara. – MalaysiaGazette