Dr Massila Kamalrudin (kiri) bersama Dr Ahmad Zahid Hamidi, Zambry Abd Kadir dan Presiden Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA) Antarabangsa, Nakano Etsuko.

TOKYO – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerokai peluang kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bersama negara Jepun menerusi Pertubuhan Kemajuan Industri, Kerohanian dan Budaya (OISCA)
Antarabangsa.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama dengan negara Jepun ini berteraskan dua agenda utama iaitu TVET dan Edu Pelancongan.

Menurut beliau, langkah ini merupakan pendekatan strategik yang turut menjadi titik mula pembuka ruangan kepada lapisan rangkaian yang lebih meluas lagi selepas ini.

Dalam konteks TVET kerjasama yang bakal terjalin adalah kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan inovasi termaju pada masa kini berkaitan penuh dengan kemajuan TVET dunia.

“Sementara itu agenda kedua yang merupakan inisiatif UTeM pula tertumpu kepada usaha pemerkasaan promosi pakej Edu Pelancongan UTeM dengan kerjasama negeri Melaka.

“Usaha ini merupakan impak berganda kerana promosi edu pelancongan ini bukan hanya untuk UTeM semata-mata namun berkait langsung dalam usaha penyerlahan pelancongan dunia buat negeri Melaka,” ujarnya lagi.

Kerjasama ini antara hasil perbincangan antara UTeM yang diwakili oleh Naib Canselor UTeM dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Antarabangsa (UGlobe) Prof Madya Dr Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah bersama pihak OISCA yang diwakili oleh Presidennya Nakano Etsuko dan Setiausaha Agungnya Kitsuki Fumio.

Perbincangan tersebut diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut bersama dengan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sempena dengan lawatan kerja tujuh hari TPM ke Jepun dengan pelbagai pengisian antaranya kunjungan hormat dan perbincangan dengan fokus utama membincangkan usaha Malaysia dan Jepun dalam memperkasa bidang TVET dan industri halal. – MalaysiaGazette