Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Akademi Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Rasuah (AMLAC) buat julung kalinya memperkenalkan Program Profesional Pengurusan Anti Rasuah di negara ini dengan pengambilan pertama, Sabtu lalu.

Presidennya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space dan London Examination Board, program itu dijangka membantu pihak swasta dalam pengurusan anti rasuah.

“Program ini bagi memastikan keperluan di bawah Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dipatuhi semua syarikat (korporat) di negara kita,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Selain itu, Program Profesional Pengurusan Anti Rasuah yang diilhamkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM susulan penggubalan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 untuk memastikan peruntukan liabiliti korporat dipatuhi pengurusan syarikat swasta.

“Dalam erti kata mudah, apabila berlaku kesalahan kes rasuah oleh pekerja syarikat, maka Pengarah syarikat, pengurusan syarikat juga boleh dituduh di mahkamah.

“Peruntukan ini menyatakan bahawa liabiliti korporat kepada apa sahaja kesalahan rasuah yang dilaksanakan oleh pekerja mereka.

“Kecuali syarikat tersebut mempunyai langkah-langkah mencukupi (adequate measures) yang dikeluarkan tatacara dan garis panduannya oleh Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan wujudnya syarikat yang tidak memahami sepenuhnya pelaksanaan pengurusan anti rasuah dalam premis korporat masing-masing.

“Saya rasa terpanggil untuk bukan hanya setakat yang ada dalam konteks negara kita buat masa ini dalam peringkat sijil.

“Kita mahu ke hadapan untuk menyediakan juga pegawai-pegawai (SPRM) yang mempunyai kelulusan.

“Alhamdulillah profesional diploma yang kita tawarkan bukan hanya universiti tempatan, malahan ditauliahkan oleh London Examination Board, iaitu satu entiti yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Katanya, program ini diharapkan dapat membantu menyediakan ekonomi Malaysia Madani yang bebas salah laku rasuah dan penggubahan wang haram pada masa hadapan.

“Apatah lagi kita sekarang bercakap dengan ekonomi Madani.

“Saya percaya ekonomi Madani perlulah berteraskan kepada ekonomi yang bebas daripada rasuah itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast