Muhammad Ridwan Ismail, 34 dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Memancing Sungai Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) sekali gus membawa pulang RM30,000

MELAKA – “Saya anggap kemenangan wang tunai RM30,000 ini adalah rezeki anak ketiga yang akan lahir Jun ini,” kata Muhammad Ridwan Ismail, 34.

Anggota tentera itu dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Memancing Sungai Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), menewaskan 1,200 peserta lain di Pengkalan Rama, di sini, semalam.

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia tidak menyangka akan membawa pulang hadiah sebesar itu selepas berjaya mendaratkan seekor ikan haruan seberat 1.2 kilogram (kg).

“Pada mulanya, saya hanya berjaya mendaratkan tilapia bersaiz kecil, namun menukar umpan anak ikan selepas dinasihatkan kawan.

“Tak sangka pula, umpan itu membawa tuah kerana kalau ikutkan ramai lagi kaki pancing yang lebih berpengalaman berbanding saya saya hanya menyertai pertandingan untuk memenuhi hobi,” katanya.

Menurutnya, kemenangan itu adalah hadiah terbesar sepanjang mengambil bahagian dalam pertandingan memancing sungai dan ikan air tawar sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, naib johan pertandingan dimenangi Anuar Samat dari Kuala Selangor yang berjaya mendaratkan ‘ikan bandaraya’ seberat 0.9 kg sekali gus melayakkannya membawa pulang RM7,000

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast