KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa – Asia dan Pasifik (ICA-AP) bersetuju menjadikan gerakan koperasi di rantau Asia Pasifik sebagai platform pemudah cara dalam pengurusan import dan eksport bekalan beras di peringkat serantau.
Persetujuan itu dicapai dalam satu resolusi menerusi mesyuarat yang diadakan di Co-operative League of Thailand (CLT) Training Center, Bangkok,Thailand, semalam.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah, merangkap Naib Presiden ICA-AP berkata, persetujuan bersama yang disepakati antara Malaysia dengan Thailand dan Filipina itu wajar mendapat sokongan di peringkat antarabangsa memandangkan gerakan koperasi adalah gerakan rakyat yang turut memperjuangkan kehendak masyarakat khususnya dalam isu keterjaminan makanan.
Menurutnya, hasil resolusi tersebut akan dibentangkan dalam 11th Asia Pacific Co-operative Ministers’ Conference yang bakal berlangsung di Jordan pada 28 hingga 30 April 2024.
Mesyuarat yang pertama kali diadakan pada tahun 2024 ini dihadiri seramai 22 anggota jawatankuasa dari sembilan (9) negara melibatkan 12 buah koperasi secara hibrid melalui aplikasi zoom meeting yang diketuai Pengarah Serantau ICA-AP, Mr. Balasubramanian Iyer.
Sebanyak enam agenda akan dibentang termasuk Mengesahkan Minit Mesyuarat yang berlangsung di Manila, Filipina pada 7 Disember 2023; Perancangan Aktiviti Bagi Tahun 2024; Perbincangan mengenai perkara berbangkit dan Borang Kaji
Selidik ICA-AP Perdagangan dan Perniagaan yang melibatkan penyertaan dalam kalangan anggota ICA-AP bagi mengenal pasti peluang perniagaan berpotensi dan membangunkan strategi perniagaan dan perdagangan.
Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan ICA-AP akan datang bakal diadakan di Kunming, China pada September 2024. – MalayasiaGazette