Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 65, Jalan Yong Peng-Kluang semalam.

KLUANG – Seorang pesara tentera ditemukan maut apabila kereta dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 65, Jalan Yong Peng-Kluang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan sekitar jam 6.40 petang.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan seorang pesara tentera memandu bersendirian dari arah bulatan T6 menghala ke Kluang sebelum hilang kawalan dan terbabas ke gaung di sebelah kanan jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

“Berdasarkan keterangan daripada waris, mangsa keluar dari rumah pada jam 10 malam Sabtu, namun tidak pulang semula dan terlibat dengan kemalangan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Ridzuan Mohamad Zait berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan berkenaan pada jam 6.33 petang semalam.

Katanya, sejurus menerima maklumat tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) dengan lapan anggota bomba dihantar ke lokasi.-MalaysiaGazette