KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim tidak akan melayani permintaan daripada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
Sultan Ibrahim bertitah, semua pihak perlu menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk selepas Pilihan raya Umum ke-15.
Dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, baginda menegaskan, jika ada ahli Parlimen yang masih hendak berpolitik mereka perlu menunggu pilihan raya yang akan datang.
“Suka saya ingatkan bahawa Parlimen ini adalah tempat para pengubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan yang berhormat semua adalah pengubalnya.
“Oleh itu adalah tidak masuk akal jika pengubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.
“Oleh yang demikian saya harap semua ahli dewan supaya menunjukkan contoh tauladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini,” tegas Sultan Ibrahim.
Baginda turut menasihatkan sejumlah 222 Ahli Parlimen supaya menjaga adab dan tata tertib serta gunakan tuturkata yang sopan ketika melaksanakan perbahasan di Dewan Rakyat.
Sultan Ibrahim meminta semua ahli Parlimen tidak mengeluarkan tutur kata yang bersifat memaki hamun ketika berbahas.
Serentak itu baginda memberikan kebenaran kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang di-Pertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan.
“Kalau tengok perangai ahli dewan sebelum ini saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini.
“Yang di-Pertua kedua-dua dewan mesti menjalankan tugas dengan tegas untuk memastikan semua ahli mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.
“Saya berikan ‘lampu hijau’ kepada speaker untuk mengambil tindakan kepada ahli-ahli yang melampau batas boleh kenakan tindakan gantung 14 hari jika ada yang masih degil,” titah baginda yang mendapat tepukan gemuruh ahli Parlimen. – MalaysiaGazette