KUALA LUMPUR – “Ucapan saya hari ini lebih halus kalau dibandingkan dengan ucapan di Johor. Saya beri peluang supaya tidak ada yang tersinggung tetapi akan datang harap-harap berjaga-jaga”.
Itu ingatan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada 222 Ahli Parlimen semasa menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan menjalankan pemerintahan sama seperti Yang di-Pertuan Agong sebelum ini berdasarkan Perlembahaan dan peraturan yang ditetapkan.
Baginda menegaskan, akan menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah raja-raja untuk memastikan kedaulatan dan kemakmuran negara serta kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa terpelihara.
Justeru menurut baginda, keutamaan yang akan diberikan sepanjang pemerintahan adalah untuk membela lebih 33 juta rakyat dan bukannya menjaga kepentingan ahli politik.
Serentak itu Sultan Ibrahim menitahkan agar ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk berganding bahu demi kesejahteraan rakyat.
Tegas baginda, kejayaan atau kegagalan Malaysia bukan semata-mata terletak di bahu perdana menteri tetapi juga dipikul oleh semua wakil rakyat.
“Oleh itu saya menyeru kepada semua pihak, sama ada yang duduk di sebelah kanan, atau di sebelah kiri. Marilah kita bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
“Di mata saya kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu perdana menteri sahaja tetapi semua 222 Ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil mereka dalam kerajaan.
“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu saya berharap semua ahli yang berhormat akan menumpukan usaha untuk membela nasih hidup mereka bukannya demi kepentingan parti politik ataupun diri sendiri,” tegas baginda. – MalaysiaGazette