Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nur Al Mustafa Malaysia masih belum memberikan sebarang bukti yang menunjukkan ‘Mawla Amin’ merupakan keturunan Nabi Muhammad SAW.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihaknya tidak menerima sebarang dokumen bagi membuktikan dakwaan seperti yang disebut pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media.

“Susulan kenyataan yang dibuat oleh pihak Nur Al Mustafa Malaysia dalam sidang media diadakan berhubung nasab ‘Mawla Amin’ yang memaklumkan bahawa pihak mereka telah mengemukakan bukti dokumen berkaitan kepada pihak Jakim, dimaklumkan Jakim tidak menerima sebarang dokumen sebagaimana yang dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Minggu lepas Nur Al Mustafa Malaysia yang merupakan penganjur program lelaki dari Algeria itu mendakwa telah mengemukakan bukti dokumen kepada Jakim.

Pengerusi Nur Al Mustara Malaysia Hasnul Hakim Mohd Zain mendakwa ‘bukti’ itu pernah diserahkan kepada Jakim Pulau Pinang dan Melaka bagi mendapatkan tauliah ceramah lelaki berkenaan.

Lelaki yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai ‘Mawla Mohamed Amin al-Hassani’ mengaku mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad SAW pernah datang ke negara ini, dua tahun lalu anjuran sebuah madrasah.- MalaysiaGazette