KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh memperkenalkan sistem kuota dalam Skim Perubatan Madani (SPM) jika peruntukan yang ada tidak mencukupi.

Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) yang membuat syor itu berkata, mungkin klinik-klinik yang menyertai skim itu boleh diberikan kuota merawat dengan nilai RM10,000 sebulan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ProtectHealth Corporation ((ProtectHealth) boleh memperkenalkan sistem kuota ini untuk membolehkan 2,506 klinik swasta terus memberikan perkhidmatannya melalui SPM.

“SPM sangat membantu dalam mengurangkan kesesakan pesakit di premis kesihatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdim mengulas kenyataan ProtectHealth yang mengehadkan SPM kepada 10 kawasan sahaja berkuat kuasa semalam bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim ini.

Program itu kini akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

ProtectHealth berkata, dengan perubahan tersebut, kelayakan penerima SPM ini akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah ini sahaja dan pesakit yang pernah menerima rawatan.

Menurut Perdim, penambahbaikan SPM sepatutnya dilakukan setelah menerima peruntukan Belanjawan 2024 berjumlah RM100 juta dan bukannya dihentikan secara tiba-tiba.

Perdim yang kecewa dengan perkembangan terkini SPM itu berharap, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly menilai semula keputusan itu dan meneruskan skim itu di peringkat klinik swasta.

Ini kerana SPM yang mula diperkenalkan pada 15 Jun 202 kepada gologan B40 boleh berubat ke klinik swasta untuk sakit-sakit akut secara percuma. – MalaysiaGazette

Skim Perubatan Madani terhad di 10 kawasan, penerima tertentu sahaja