Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pesakit yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) dibenarkan discaj apabila keadaan stabil ke pusat-pusat jantung kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lain bagi memastikan lebih ramai pesakit boleh dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN),

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, KKM membayar kepada IJN untuk setiap pesakit dirujuk ke IJN menggunakan pembiayaan tahunan Persekutuan yang diterima daripada Kementerian Kewangan.

Jelasnya, pusat Jantung KKM juga diuruskan oleh Pakar Kardiologi dan Pakar Bedah Kardiotorasik yang bereputasi dan bertauliah.

“Paling penting, KKM akan terus memastikan penjagaan dan keselamatan pesakit tidak terjejas termasuk pesara-pesara kerajaan,” katany mengulas laporan portal Code Blue yang ditulis oleh seorang pesara penjawat awam yang diberhentikan rawatan selepas 25 tahun menerima rawatan rapi di IJN.

Pesara itu, yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, alasan yang diberi ialah arahan kementerian supaya semua penjawat awam dan pesara perlu discaj ke pusat jantung KKM berhampiran rumah mereka.

“Saya membantah kerana masalah saya sangat rumit; pakar kardiologi kanan IJN bersetuju dengan saya. Tetapi saya diberitahu bahawa tangan mereka terikat kerana kerajaan sedang mengurangkan kos.

“Saya juga mendapat tahu pesara dan penjawat awam lain di seluruh negara, beberapa bulan lalu turut mengalami nasib yang sama.

“Jadi, saya pulang ke rumah dan membuat persediaan untuk berjumpa doktor di pusat jantung KKM berhampiran rumah saya. Ini bukan mudah kerana saya terpaksa membuat janji temu dan klinik sibuk,” katanya.

Pesara itu berkata, selepas lebih dua bulan beliau berjaya berjumpa doktor namun bimbang akan kehabisan ubat tidak lama lagi.

Dzulkefly berkata, IJM dan KKM telah pun mempunyai hubungan kerja yang baik walaupun selepas pengkorporatan institut tersebut.

“Sejak sekian lama, KKM telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN dan terutamanya untuk mengurangkan kesesakan dan masa menunggu yang lama pusat jantung KKM, contohnya di Pusat Jantung Serdang.

Selain di Serdang, KKM mempunyai 10 hospital yang mempunyai Perkhidmatan Kardiologi dan tujuh termasuk mempunyai perkhidmatan surgeri kardiotorasik, ujarnya. – MalaysiaGazette