Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berbahas pada Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat pertama penggal ketiga parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan kekeliruan peranan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu, Pengerusi NACCOL adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala jawatan rasmi Syed Abu Hussin Hafiz  sebagai Ketua Petugas Khas Pemantauan kepada Kluster Makanan NACCOL.

Beliau menambah, KPDN pula adalah sekretariat kepada majlis itu namun isu padi dan beras di bawah Akta 522 di mana tanggungjawabnya adalah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Sebagaimana kita maklum, isu padi dan beras ini di bawah Akta 522 di mana kementerian yang bertanggungjawab adalah Kementerian Pertanian. Namun mengambil kira KPDN adalah sekretariat kepada NACCOL, saya ingin memaklumkan dari segi peranan, sejak pembentukan NACCOL, pengerusinya adalah perdana menteri sejak pentadbiran-pentadbiran yang lepas.

“Peranan YB Bukit Gantang sebagaimana dimaklumkan Kementerian Pertanian dan telah diperakui perdana menteri kerana Kementerian Pertanian merupakan pengerusi kepada kluster makanan.

“Dan dimaklumkan peranan rasmi YB Bukit Gantang adalah Ketua Task Force Pemantauan kepada kluster makanan NACCOL. Jadi itu peranan yang sebenar dan rasmi Bukit Gantang,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai isu beras putih Malaysia Madani yang menimbulkan kontroversi dan apakah jawatan sebenar Syed Abu Hussin Hafiz di dalam NACCOL yang sering bertukar.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan menegur beliau yang mengumumkan secara “tergesa-gesa’ pengenalan beras putih Malaysia Madani yang belum diputuskan kerajaan.

Mereka mempersoalkan bagaimana Syed Hussin yang bukan anggota Jemaah Menteri dan hanya mengetuai jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup ‘mendahului’ kerajaan mengumumkan dasar penting itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu pula menjelaskan, pengenalan satu gred beras putih dikenali Beras Madani diumum Syed Hussin itu sebagai satu kekeliruan dan belum diputuskan kerajaan.

Sebelum itu, Armizan turut menjawab soalan Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai keberkesanan inisiatif yang diambil Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dalam menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, NACCOL merupakan platform nasional dalam merangka dasar, strategi dan pelan tindakan berkaitan agenda kos sara hidup yang digerakkan merentasi kementerian dan agensi serta melibatkan wakil kerajaan-kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri.

“Melalui NACCOL, kerajaan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan memberikan pertimbangan terhadap elemen kos sara hidup.

“Selain itu, mengambil kira kos sara hidup adalah bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran (demand and supply) dalam sistem ekonomi pasaran terbuka (free market economy), pemantauan juga dilakukan terhadap faktor pasaran dan aktiviti sektor swasta/industri.

“Ini termasuk kesan pengaruh besar iklim serta ekosistem pasaran global. Selain penggubalan dasar dan program-program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan berbentuk intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh,” katanya. – MalaysiaGazette